Showing posts with label Dunia. Show all posts
Showing posts with label Dunia. Show all posts

#MENGENANG QZ8501: TENTERA INDONESIA TERPAKSA HENTIKAN MISI PENCARIAN MANGSA SETELAH SEBULAN OPERASI, AHLI KELUARGA HARAP MISI DITERUSKAN

Operasi SAR saki-baki mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan pihak tentera.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: ‎Usaha mencari dan menyelamat (SAR) saki-baki mangsa dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501 di Selat Karimata ditamatkan pada hari ke-31 operasi.
Pengumuman tersebut disampaikan, Panglima Armada Indonesia Kawasan Barat, Laksda Widodo bersama permohonan maaf buat keluarga mangsa dan semua pihak yang masih berharap pencarian itu diteruskan, lapor portalDetik.com.

"Selaku komandan yang menyelaras SAR ini, kami menyampaikan kepada keluarga mangsa, permohonan maaf yang sedalam-dalamnya," ujar Widodo kepada wartawan di kapal perang Banda Aceh hari ini.

Seramai 70 daripada 162 mayat mangsa telah ditemukan.

Widodo mengatakan bahwa pihaknya telah berupaya semaksimum mungkin untuk memindahkan mayat dan badan pesawat.

"Ini adalah upaya maksimum kami. Dua hari terakhir, usaha penyelam mencari di bahagian yang baharu tidak membuahkan hasil,” ulas Panglima TNI Jeneral Moeldoko tentang hal tersebut.

Seluruh kapal KRI telah dikerah untuk meninggalkan Selat Karimata. Selain KRI Banda Aceh yang kembali ke Jakarta, kapal KRI ‎Yos Soedarso, KN Pacita, dan Kapal Crest Onyx juga pulang ke pangkalan masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Badan SAR (Basarnas) Indonesia, SB Supriyadi berkata, ketetapan mengenai pemberhentian operasi itu tersebut masih dibincangkan oleh pihak yang terlibat.

Katanya, operasi SAR standard yang dirangkakan selama seminggu telah berlanjutan sehingga 31 hari sejak nahas tersebut terjadi pada 28 Disember lepas. –Astro Awani

Surabaya: Ahli keluarga mangsa pesawat QZ8501 masih mengharapkan misi pencarian diteruskan walaupun pihak Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa suami isteri Indriyani Fandi Santoso berkata, walaupun dia menyedari cuaca mungkin menyukarkan operasi, namun dia berharap supaya ahli keluarganya itu dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, dia faham bukan semua mangsa yang mungkin dapat ditemui semula tetapi mereka sekeluarga tetap mengharapkan supaya pasangan itu dapat ditemui.

Hasrat yang sama turut dinyatakan seorang lagi ahli keluarga mangsa yang berharap operasi mencari mayat mangsa ini diteruskan.

Menurut Imam Sampurno, mereka sekeluarga hanya memfokuskan penemuan mayat ahli keluarganya dan tidak memikirkan soal insuran ataupun pampasan.

Imam memberitahu bahawa, dia mengharapkan anak, menantu dan seorang cucunya itu akan berjaya ditemui dengan segera.

"Kami berharap operasi ini masih terus dilakukan. Setiap hari saya akan menghubungi pihak Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) untuk mendapatkan perkembangan terkini," jelasnya kepada Detik News.com.

Walaupun Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam, pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) memberi jaminan akan meneruskan operasi mereka.

Ketua Pasukan DVI Komisioner Polis Dr Budiyono memberitahu, pasukan itu perlu meneruskan operasi itu walaupun operasi mencari dihentikan.

Menurutnya, operasi pengecaman ini berbeza dan tidak berkaitan dengan usaha pencarian mayat mangsa.

"Saya memberi jaminan, operasi pengecaman masih diteruskan. Ianya tidak akan dihentikan.

"Operasi ini sangat penting. Sekiranya ada nelayan yang menemui mayat mangsa, kami perlu melakukan proses pengecaman dengan segera.

“Apa yang pasti, tugas kami tidak akan dihentikan kecuali semua mayat sudah ditemui," katanya kepada Detik News.com.

Menurutnya, pihaknya juga akan memainkan peranan untuk menghubungi ahli keluarga mangsa sekiranya ada penemuan ataupun perkembangan baru berkenaan mangsa pesawat ini.

Setakat ini sebanyak 70 mayat sudah ditemui dan 54 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berjaya mengenal pasti satu lagi mayat berdasarkan kepada rekod perubatan gigi selain bekas kecederaan pada tulang klavikula mangsa.

Ketua pasukan DVI, Dr Budiyono berkata, mangsa terbaru yang berjaya dikenal pasti adalah Prawira Harja Subagio, 31, yang berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur.

Menurutnya, pengenalan mangsa dapat disahkan melalui pemeriksaan rekod perubatan gigi mangsa yang sepadan dengan data yang diterima daripada doktor gigi mangsa.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, ianya memang sepadan. Ini adalah satu daripada 15 lagi mayat mangsa yang masih belum dikenalpasti," katanya kepada DetikNews.com.

Budiyono menegaskan, kecederaan pada mayat mangsa juga sepadan dengan luka yang pernah dialami mangsa di tulang Klavikula iaitu di bahagian bahu kiri.

"Maklumat ini diterima daripada ahli keluarga mangsa yang menyatakan mangsa pernah di pasang kepingan logam serta skru pada bahu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Jawa Timur, Awi Setiyono memberitahu bahawa, pihaknya mendapatkan maklumat bahawa satu lagi mayat akan dihantar dari Pangkalan Bun ke Juanda sebelum dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Menurutnya, setibanya mayat itu ke hospital ini, jumlah keseluruhan mayat yang ditemui adalah 70 mangsa dan 55 daripadanya sudah dikenal pasti yang terdiri daripada 23 perempuan dan 32 lelaki. -myMetro

SAMPAH JADI REZEKI

Antara foto di tempat pembuangan sampah, Bangladesh.

(Sumber Foto: myMetro)

Kanak-kanak tersenyum ketika menonton televisyen adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi ketika mereka menonton program kegemaran mereka.

Tetapi lain pula cerita kanak-kanak ini yang cukup gembira dapat mengutip rangka televisyen rosak di tempat pembuangan sampah.

Inilah sebahagian daripada kanak-kanak yang tinggal dan bekerja di tapak pelupusan di Sylhet, antara bandar terkaya Bangladesh, demi mencari nafkah dengan mengutip sisa orang lain, termasuk sisa perubatan.

Di sebalik senyuman yang terukir pada wajah mereka terlindung kepayahan hidup yng mereka perlu harung apabila terpaksa berdepan bahaya selama berjam-jam untuk mendapatkan sesuap nasi.

Meskipun banyak hotel ala Barat, pusat beli-belah dan kawasan perumahan mewah, masih ada penduduk yang terpaksa mengutip sisa sampah semata-mata mahu meneruskan kehidupan.

Mereka menyelongkar timbunan sampah untuk mencari barangan isi rumah yang boleh dijual semula di pasaran- dan makanan untuk diberi kepada keluarga mereka.

Ramai dalam kalangan mereka yang duduk di tengah timbunan sampah tanpa kasut atau hanya memakai sandal, dan tidak mengguna sarung tangan.

Menurut Global Alliance of Waste Pickers, kitar semula ialah industri yang paling menguntungkan di Bangladesh, dengan hampir 200 kilang memproses botol plastik untuk dieksport ke China dan Thailand.

Dipercayai hampir 100,000 penduduk di Dhaka bekerja sebagai pengutip sampah dan kebanyakan mereka tidak boleh membaca atau menulis, tetapi bekerja keras untuk mendapatkan wang.

Ada dalam kalangan mereka memperoleh sekitar £1 (RM5.50) dan £1.50 (RM8.20) sehari selepas menyelongkar timbungan sampah selama 20 jam.

Bagi kanak-kanak itu, mereka adalah sebahagian daripada jutaan kanak-kanak Bangladesh yang kekurangan nutrisi. -myMetro

VIDEO VIRAL: IBU BUTA DAPAT LIHAT BAYI YANG DILAHIRKAN UNTUK PERTAMA KALI

Video viral seorang ibu buta dapat lihat bayi yang dilahirkan atas bantuan set diikat di kepala.

(Sumber Foto: Video Youtube)

WASHINGTON: Sebuah video yang menunjukkan seorang ibu buta di Kanada melihat bayi yang baru dilahirkan untuk pertama kali menggunakan cermin mata khas yang dapat meningkatkan penglihatan telah menjadi viral.

Video yang disiarkan di YouTube ( https://www.youtube.com/watch?v=e9crPvfcEy4 ) itu menunjukkan Kathy Beitz, 29, sedang melihat bayi lelakinya yang baru lahir dengan bantuan set tersebut yang diikat di kepala.

"Untuk bayi pertama yang saya benar-benar dapat melihatnya, saya berasa sangat terharu," kata Beitz dalam video popular itu.

Beitz mempunyai genetik degenerasi makula dikenali sebagai penyakit Stargardt. Dia dapat melihat anaknya dengan bantuan cermin mata eSight dalam masa nyata.Imej-imej yang dipertingkatkan membolehkan orang-orang yang tidak buta sepenuhnya untuk melihat dunia di sekeliling mereka.

"Dia melahirkan bayi ini dan dia mahu melihatnya serta-merta," kata kakak Beitz, Yvonne Felix yang menyiarkan video itu.-mStar

#MENGENANG QZ8501: BANGKAI PESAWAT GAGAL DINAIKKAN

Pelampung yang digunakan untuk menaikkan bangkai pesawat.

(Sumber Foto: mStar)

JAKARTA: Pasukan penyelamat berjaya menaikkan bangkai pesawat AirAsia, QZ8501 hampir ke permukaan air sebelum ia tenggelam semula ke dasar Laut Jawa.

Situasi yang sukar itu berlaku berkutan pelampung untuk menaikkan bahagian utama pesawat malang itu menguncup.

Ketua Operasi  Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Suryadi Bambang Supriyadi berkata, empat lagi mayat ditemui pada Sabtu di sekitar kawasan bangkai itu.

"Pasukan penyelam berhadapan masalah kerana arus kuat dan jarak penglihatan yang kurang untuk melakukan persediaan untuk operasi mengangkat bangkai pesawat itu lagi," katanya.

Keseluruhannya, 69 mayat ditemui daripada 162 penumpang dan kru pesawat yang terhempas pada 28 Disember lalu itu.

Pihak berkuasa percaya lebih banyak mayat masih ada dalam bahagian utama kapal terbang itu, lapor The Jakarta Post. -mStar

#MENGENANG QZ8501: JATUH BERPUTAR

Antara gambar mencari dan penemuan serpihan bangkai QZ 8501.

(Sumber Foto: Mirror)

Jakarta: Data teknologi Automatic Dependent Surveillance–Broadcast (ADS-B) yang dirakam daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menunjukkan bahawa ia jatuh berputar ke dalam laut.

ADS-B adalah teknologi kerjasama pengawasan yang digunakan untuk menentukan kedudukan pesawat menerusi navigasi satelit yang disiarkan dari semasa ke semasa.

Menurut gambaran Aviation Safety Network, ketika pesawat naik mendadak sekitar 7.17 pagi (waktu tempatan), haluannya berubah 270 darjah ke barat.

Sebaik mencecah ketinggian 11,460 meter, arah pesawat membelok ke kiri sebelum berputar balik ke haluan asal dalam keadaan jatuh dengan kelajuan antara 3,353 meter hingga 7,315 meter seminit.

Mengikut maklumat pengesanan radar ADS-B terakhir yang dicatatkan pada ketinggian 7,315 meter, pesawat menukar haluan 197 darjah atau ke barat daya.

Ia kemudian dijangka jatuh terus ke laut.

Maklumat awal itu meleraikan persoalan mengapa kelajuan QZ8501 hanya 60 knots ketika hilang ketinggian, menurut Kompas.com

Ia sekali gus memperkukuh pendapat pemerhati penerbangan, Gerry Soejatman yang menyebut bahawa pesawat malang itu berkemungkinan jatuh hampir menegak. - myMetro

#MENGENANG QZ8501: LIMA MAYAT TERIKAT PADA KERUSI

Anggota penyelamat mengangkat mayat penumpang QZ8501 yang diterbangkan ke Pengkalan Bun.

(Sumber Foto: Sinar Harian)

PANGKALAN BUN - INDONESIA. Pasukan penyelam Indonesia, semalam menemui lima mayat penumpang yang masih terikat dengan tali pinggang pada kerusi masing-masing di bahagian utama pesawat QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.

Media tempatan melaporkan penemuan itu menjadikan jumlah mayat yang telah dibawa naik ke permukaan laut setakat ini berjumlah 58 orang.

Pegawai penyelaras operasi tersebut, S B Supriyadi berkata, kesemua mayat itu ditemui dalam kawasan berlumpur berhampiran bangkai pesawat terbabit.

"Kami percaya mereka mungkin tercampak keluar sejauh 50 meter (m) hingga 100 m dari bangkai pesawat terbabit," jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, pasukan penyelamat tersebut turut berjaya menemui bahagian utama pesawat QZ8501, di mana kebanyakan mayat mangsa dipercayai masih terperangkap di kerusi masing-masing, namun usaha itu tergendala berikutan jarak penglihatan di dasar laut itu hanya 2 meter.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan memaklumkan data diperoleh daripada pusat kawalan trafik udara menunjukkan pesawat tersebut naik lebih laju hingga menyebabkan enjinnya mati secara tiba-tiba sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Sementara itu, analisis awal ke atas rakaman suara kokpit turut mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut.  - AFP

#MENGENANG QZ8501: PENGGERA AMARAN BERBUNYI KUAT SEBELUM TERHEMPAS, KATA PENYIASAT

Gambar yang dirakam oleh sebuah kapal selam kawalan jauh milik kapal tentera laut Singapura, MV Swift Rescue pada 14 Januari lalu menunjukkan sebahagian serpihan badan pesawat QZ8501 di dasar Laut Jawa. (Gambar kecil) Kotak hitam.

(Sumber Foto: Kosmo)

JAKARTA – Sistem penggera di kokpit pesawat AirAsia QZ8501 berbunyi dengan kuat ketika dua juruterbang berusaha menstabilkan kapal terbang berkenaan beberapa saat sebelum ia terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu, kata seorang penyiasat semalam.

Seorang penyiasat yang enggan identitinya didedahkan berkata, bunyi bising beberapa alat penggera untuk memberitahu bahawa pesawat itu terhenti boleh didengari dalam rakaman perbualan kokpit QZ8501.

“Penggera-penggera ini boleh kami katakan berbunyi dengan kuat dan kami boleh mendengar suara juruterbang dan pembantunya sedang sibuk menstabilkan pesawat,” katanya kepada agensi berita AFP.

Penyiasat yang bertugas di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) itu juga memberitahu bahawa, bunyi yang keluar daripada penggera amaran berkenaan sangat kuat sehingga menenggelamkan suara dua juruterbang tersebut.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan memberitahu rakaman data penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan mendaki dengan sangat pantas sebelum terhenti dan terhempas di lautan ketika cuaca buruk.

“Pada minit-minit terakhir sebelum terhempas, QZ8501 mendaki dengan kelajuan yang tidak normal. “Pesawat berkenaan kemudiannya terhenti sebelum terhempas di laut,” ujarnya.

NTSC kini menganalisis dua kotak hitam yang mengandungi rakaman suara kokpit dan rakaman data penerbangan yang memantau setiap bahagian utama pesawat jenis Airbus A320-200 berkenaan.

Kedua-dua kotak hitam tersebut kini berada di sini untuk dianalisis.

Para penyiasat sebelum ini menolak nahas itu berpunca daripada aktiviti pengganas dan sedang menumpukan siasatan terhadap faktor kesilapan manusia dan kerosakan pesawat.

Ketua NTSC, Tatang Kurniadi berkata, laporan awal kemalangan itu akan siap pada 27 Januari ini, kira-kira sebulan selepas nahas berlaku.

Bagaimanapun, katanya, laporan penuh tidak akan didedahkan kepada umum dan hanya sebahagian kandungannya akan diberikan kepada pihak media.

Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura.

Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan pasukan penyelamat percaya masih ramai mangsa terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.

Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk menghampiri badan pesawat QZ8501 yang ditemui di dasar laut dekat Pulau Belitung sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.

Pesawat itu terhempas selepas menempuh cuaca buruk. – AFP

KES ALTANTUYA: ATAS DASAR APAKAH SIRUL DITAHAN, SOAL PEGUAMBELA KAMARUL HISHAM

Kamarul Hisham menyatakan bahawa langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan pihak berkuasa Malaysia.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan, menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.

“Kami telah dihubungi Sirul dan telah diberi mandat untuk membuat apa-apa tindakan undang-undang yang dibenarkan dalam keadaan ini,” ujar Kamarul Hisham sewaktu dihubungi Astro AWANI.

Beliau menyatakan bahawa langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan notis merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjut kepada permohonan ekstradisi itu.

“Setakat ini tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu,” ujar Kamarul Hisham yang menambah bahawa sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.

Sirul dikenakan perintah ekstradisi oleh Mahkamah Persekutuan bagi menjalani hukuman mati setelah sabit tuduhan membunuh model dan penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Minggu lalu,Bernama melaporkan bahawa pasukan peguambela Sirul akan mencabar permohonan ekstradisi ke atasnya jika pihak berkuasa Malaysia meminta supaya kerajaan Australia menghantar dia pulang ke negara ini.

Kamarul Hisham ketika itu berkata langkah itu akan dibuat bergantung kepada arahan yang akan diberikan oleh anak guamnya.- Astro Awani

KES ALTANTUYA: KOPERAL SIRUL AZHAR UMAR DITAHAN DI AUSTRALIA

Laman web INTERPOL memaparkan Sirul Azhar sebagai orang yang dikehendaki.

(Sumber Foto: Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Media Australia sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara Australia mungkin tidak akan meluluskan permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul kerana negara itu tidak mengiktiraf hukuman mati. – Sinar Harian

Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar sudah ditahan oleh pegawai imigresen di Queensland, Australia atas sabitan kes bunuh Altantuya Shaariibuu, lapor media Australia, ABC News hari ini.

Sirul Azhar ditahan semalaman di Brisbane selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadap anggota UTK itu yang dijatuhi hukuman gantung atas sabitan kes bunuh pada 2006.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Difahamkan Sirul Azhar masih ditahan pegawai imigresen Queensland tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka bersedia untuk menyerah balik beliau ke Malaysia.

Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan pada 2009.

Sementara itu, pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mahkamah Persekutuan turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya kerana gagal hadir ke mahkamah.

Sirul dipercayai pergi ke Australia pada Oktober tahun lalu.

Namun, dia dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi hukuman itu. -mStar

INFO

Pertuduhan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar

- Dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Kronologi perbicaraan kes bunuh Altantuya

- 15 November 2006 Azilah dan Sirul Azhar didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya.

- 7 Jun 2007 Hari pertama perbicaraan Azilah dan Sirul Azhar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

- 31 Oktober 2008 Mahkamah Tinggi Jenayah memerintahkan seorang lagi tertuduh, Abdul Razak Baginda dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu dipanggil membela diri.

- 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar.

- 10 dan 13 April 2009 Azilah dan Sirul Azhar masing-masing memfailkan notis rayuan ke atas sabitan dan hukuman.

- 10 Februari 2012 Pengurusan Kes di Mahkamah Rayuan 11 Jun 2013 dan Mahkamah Rayuan mendengar permohonan rayuan selama tiga hari.

- 23 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah serta Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

- 23 Jun 2014 Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan selama tiga hari.

- 25 Jun 2014 Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

- 13 Januari 2015 Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan. –Berita Harian

#MENGENANG QZ8501: TAMBAH KELAJUAN ‘LEBIH DARIPADA BIASA’ SEBELUM TERHENTI

Antara bangkai dan serpihan pesawat QZ8501.

(Sumber Foto: mStar dan AFP) 

JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu didapati menambah kelajuan "lebih daripada biasa" dan kemudian terhenti.

"Pada saat akhir, pesawat menambah kelajuan melebihi daripada kadar biasa," kata Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan yang merujuk kepada data radar.

"Pesawat itu secara tiba-tiba menambah kelajuan melebihi had biasa di mana ia mampu untuk naik. Kemudiannya ia terhenti," katanya kepada pemberita.

Pesawat QZ8501 terhempas pada 28 Disember lalu ketika cuaca buruk dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura.

Nahas itu mengakibatkan kesemua 162 penumpang dan anak kapal terkorban. - AFP

PESALAH JUVANA TERIMA ANUGERAH SELAMATKAN POLIS

Jamal Rutledge (tengah) diapit oleh anggota polis. (Gambar kecil) Babak Jamal menyelamatkan anggota polis yang dirakam melalui CCTV.

Sumber Foto: Sinar Harian

FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pesalah juvana dinobatkan sebagai hero selepas menyelamatkan nyawa seorang anggota polis.

Jamal Rutledge, 17, yang ditahan atas suatu kesalahan juvana menjerit meminta tolong selepas seorang anggota polis rebah.

Sebuah video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam tindakan pantas Jamal telah dimuatnaik ke laman video popular Youtube.

Dalam video tersebut, Jamal sedang duduk ketika pegawai polis, Franklin Foulks, 49, sedang merekodkan penahanan Jamal.

Foulks kemudian dilihat rebah sambil memegang dadanya.

Jamal kemudian bangun dan menjerit meminta tolong untuk menarik perhatian pegawai polis lain.

Menurut huffingtonpost.com, Jamal sedang direkod untuk masuk penjara sebelum kejadian September lalu tersebut berlaku.

Pegawai perubatan memberitahu, tindakan pantas Jamal telah menyelamatkan nyawa Foulks.

Jamal dan beberapa anggota polis lain yang membantu menyelamatkan nyawa Foulks akan diraikan selepas suatu mesyuarat pada 21 Januari nanti. –Sinar Harian

#MENGENANG QZ8501: DUA LAGI MAYAT MANGSA DITEMUI

Setakat ini Basarnas telah menemui 53 jenazah dengan 45 telah dikenal pasti.

Sumber Foto: Astro Awani 

KUALA LUMPUR: Dua lagi mayat mangsa penerbangan QZ8501 ditemui di kawasan pencarian utama dan telah dipindahkan oleh kapal mencari dan menyelamat (SAR) ke Pangkalan Bun.

AirAsia dalam kenyataannya malam Ahad berkata setakat ini, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Republik Indonesia mengesahkan telah menemui sejumlah 53 mayat dengan 45 telah dikenal pasti, enam sedang dikenal pasti dan dua lagi masih belum tiba di Hospital Bhayangkara.

Kenyataan itu menyebut Jabatan Pengenalpasti Mangsa Bencana (DVI) Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) kini sedang mengumpul lebih banyak bukti DNA yang diperlukan bagi menyamakan data ante-mortem dan post-mortem kepada enam mayat yang sedang dikenalpasti.

Sementara itu, operasi SAR diteruskan pagi ini walaupun ombak besar dan arus deras menyebabkan usaha penyelam bagi menghampiri serpihan fiuslaj yang berada di kedalaman 28 meter di dasar Laut Jawa tertunda.

"Penyelam telah mencuba menghampiri serpihan tersebut untuk pemerhatian yang lebih lanjut tetapi kembali ke permukaan kerana keadaan laut yang bergelora," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Basarnas memberi jaminan misi mencari dan menyelamat penumpang QZ8501 masih menjadi keutamaan kerana disyaki masih banyak penumpang terperangkap di bawah serpihan tersebut. –Astro Awani

KETAGIH MAKAN SPAN

Rosie bersama makanan kegemarannya

(Sumber Foto: myMetro)

Surrey: Rosie Skinner membeli sekurang-kurangnya dua span besar seminggu.

Span itu bukan untuk mencuci kereta atau membersihkan bilik mandi, tetapi untuk dimakan oleh gadis berusia 19 tahun itu.

Rosie ketagih memakan span sejak berusia lima tahun lagi.

Pelajar dari Epson itu akan memotong span berkenaan menjadi kepingan kecil dan menghisapnya sepanjang hari, sama seperti kebanyakan remaja memakan coklat atau kerepek.

"Saya sangat sukakan bau span basah. Saya suka rasa kelembapannya. Saya juga sukakan teksturnya. Ia seperti memakan kek.

"Satu hari nanti saya mungkin akan cuba meletakkan aising. Jika rasa tertekan, saya suka memakan span sambil bersantai," katanya. –myMetro

#MENGENANG MH17: TEPUKAN GEMURUH IRINGI IBU KETUA PRAMUGARI AZRINA YAKOB TERIMA IJAZAH ANUMERTA

Tepukan gemuruh iringi ibu ketua pramugari MH17, Azrina Yakob terima ijazah

(Sumber Foto: Astro Awani)

SHAH ALAM: Hari ini merupakan hari yang paling diingati oleh keluarga ketua pramugari pesawat Penerbangan Malaysia MH17, Azrina Yakob.

Azrina yang sepatutnya menerima ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) dengan Kepujian di Majlis Konvokesyen Universiti Institut Teknologi MARA, Shah Alam merupakan salah seorang mangsa tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai lalu.

Azrina diwakili ibunya, Habibah Ismail, 65 tahun yang menerima ijazah tersebut daripada Pro-Canselor, Tan Sri Abdul Rahman Arshad.

Sewaktu namanya diumumkan, hadirin di majlis tersebut memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda hormat kepadanya.

Azrina, 41 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah meninggalkan seorang suami Mohd Rafliz Mohd Tahir dan dua orang anak, Arissa Raisya, 3 dan Aqil Rais, 6 tahun.

Allahyarham menyertai MAS sebagai pramugari pada 1992.

Pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di kawasan konflik di sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai lalu. –Astro Awani

KANAK-KANAK PEREMPUAN BERUSIA DUA TAHUN MANGSA DERA PENGASUH

Aneela berusia dua tahun dipijak, dipukul dan ditendang pengasuh

(Sumber Foto: myMetro)

Kampala: Seorang pengasuh kini berada dalam tahanan polis selepas satu rakaman video menunjukkan dia menendang dan memijak seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang mengadu sakit ketika makan malam.

Pengasuh berkenaan, Jolly Tumuhiirwe, 22, ditahan selepas bapa Aneela Kamanzi, Erick Kamanzi menemui kesan lebam pada badan anaknya.

Kamanzi yang memasang kamera keselamatan di rumahnya terkejut melihat rakaman video yang menunjukkan anaknya diheret sebelum ditendang dan dipijak. –myMetro

Berdasarkan kronologi daripada rakaman video tersebut, kanak-kanak perempuan itu, Aneela dibaling ke lantai sebelum dipukul, dipijak dan ditendang oleh pengasuhnya.

Jolly Tumuhiirwe, 22, bertindak menyiksa Aneela Kamanzi kerana muntah selepas makan malam.

Sebelum itu, rakaman turut memaparkan Tumuhiirwe memukul muka Aneela ketika menyuap makanan.

Bapa Aneela, Erick Kamanzi melihat rakaman itu selepas mendapati kesan lebam di badan anaknya.

Berang dengan kelakuan Tumuhiirwe itu, lelaki tersebut memukulnya sehingga mendatangkan kecederaan serius.

Pengasuh itu membuat laporan polis menyebabkan Kamanzi ditahan.

Namun selepas dia menunjukkan rakaman penderaan itu kepada polis, tuduhan terhadap Kamanzi yang bekerja di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Kampala digugurkan.

Tumuhiirwe yang bekerja di rumah itu lebih kurang tiga bulan ditahan dan didakwa di bawah Akta Anti-Keseksaan Uganda di Mahkamah Nakawa pada 8 Disember ini.

Dia kini dikatakan terpaksa menggunakan kerusi roda dan mengguna saluran tiub untuk makan.

Pihak polis juga turut mendakwa Tumuhiirwe dengan percubaan membunuh.

Laporan mendedahkan Aneela telah meninggal dunia pada 15 November lalu, namun pihak penyiasat menafikannya dan memberitahu kanak-kanak itu sedang menjalani rawatan.-mStar

#MENGENANG MH370: TERDAMPAR DI SUMATERA?

Lokasi pencarian pesawat Malaysia Airline MH370

(Sumber Foto: Tribun Jogja)

SYDNEY- Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley mendakwa serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijangka terdampar di kawasan pantai setelah dibadai ombak dan kemungkinan besar terdampar berhampiran pantai Sumatera.

Laman web Mirror.Uk memetik Foley sebagai berkata, beliau percaya serpihan pesawat itu daripada jenis Boeing 777 akan bergerak ditolak ombak ke Indonesia dan jika perkara itu benar, segala misteri tentang kehilangan pesawat itu bakal terjawab.

“Sesuatu (daripada pesawat MH370) pasti akan terdampar di kawasan pantai dan kemungkinan besar di kawasan pantai di Sumatera. Kami dimaklumkan banyak orang telah menemui objek pelik di kawasan pantai dan menyerahkannya kepada polis tempatan.

“Kami kemudian menyerahkan objek berkenaan kepada Boeing untuk dikenal pasti, namun sehingga kini tiada sebarang berita positif diterima tentang pesawat itu. Objek yang berada di laut mengambil masa lama untuk terdampar di pantai setelah dibadai ombak,” jelas Foley.

Kata Foley, dua buah kapal masih menjalankan kerja-kerja mencari pesawat MH370 di dua buah kawasan yang telah dikenal pasti, menggunakan peralatan pengimbas sonar.

Jelasnya, 40 orang krew bekerja di atas kapal berkenaan 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan usaha mencari dapat dijalankan dengan lancar.

“Ada kalanya cuaca di laut begitu buruk, tetapi kami percaya kami akan mendapat jawapan misteri tentang kehilangan (MH370) ini. Penting untuk semua pihak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku kepada pesawat tersebut,” ujar Foley.

Kehilangan pesawat MH370 hampir memasuki sembilan bulan sejak dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal. –Utusan Online

19 NOVEMBER: HARI LELAKI DAN HARI TANDAS SEDUNIA

Gambar sekadar hiasan

HARI LELAKI SEDUNIA

Apabila ditanya apa menariknya dilahirkan sebagai lelaki, pelbagai sebab diberikan. Ada yang bercakap perihal kekuatan tubuh, tanggungjawab dan tidak terkecuali yang membanding­kannya dengan perempuan.

Hari ini, 19 November diang­kat sebagai Hari Lelaki Sedunia bagi memperingati segala jasa, pengorbanan dan peranan lelaki dalam kehidupan seharian. Dirasmikan pada 1999 di Trinidad & Tobago, acara ini mendapat sokongan menyeluruh daripada pelbagai individu, badan bukan berkepentingan mahupun kerajaan di Australia, Carribean, Amerika Utara, Asia, Eropah dan Afrika.

Sejak itu, Hari Lelaki Sedunia disambut di lebih 60 negara setiap tahun dengan aktiviti dan acara diraikan bersama.

Objektifnya untuk memberi fokus kepada kesihatan lelaki sama ada dalam kala­ngan kanak-kanak, remaja atau dewasa selain memberikan hak kesaksamaan dan menjadikan mereka sebagai 'role model' positif.

Bagi menandakan rasa hormat kepada golongan lelaki, Gen Y memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pendapat tersendiri mengenai menariknya dilahirkan sebagai lelaki.

HARI TANDAS SEDUNIA

Mungkin ada yang kurang setuju menetapkan Hari Tandas Sedunia sama tarikh dengan Hari Lelaki Sedunia. Bagaimanapun, dari sudut positif tandas juga memainkan peranan penting dalam kehidupan. Kebersihan tandas mampu mempengaruhi emosi sesiapa saja.

Dilancarkan pada 19 November 2001, Hari Tandas disambut di lebih 19 negara dengan pelbagai acara dan aktiviti berkaitan ­kebersihan tandas dan penggunaan yang betul.

Tujuannya untuk memberi kesedaran me­ngenai lebih 2.6 bilion manusia yang masih belum menikmati kemudahan tandas yang bersih dan teratur.

Hari Tandas Sedunia juga menekankan kepentingan sanitasi yang bersih dan kesan besar terhadap psikologi, kesihatan dan emosi akibat pengurusan sanitasi yang tidak betul. Justeru, jagalah tandas di rumah dan di tempat awam sebaik-baiknya.-myMetro

JUS KATAK RAWAT PENYAKIT KRONIK

Gambar sekadar hiasan

Lima: Katak dari Teluk Titicaca menjadi bahan utama dalam pembikinan jus yang menurut beberapa budaya masyarakat Andes, boleh mengubati penyakit seperti semput, paru-paru berair dan lemah tenaga batin.

Untuk menghasilkan jus yang banyak dijual di wilayah Andes dan juga di beberapa kawasan di Lima, peniaga Maria Elena Cruz akan menangkap seekor katak dari akuarium kecilnya, mengetuknya hingga mati.

Dia kemudian menyiat kulit amfibia itu dan memasukkannya dalam pengisar bersama-sama lobak, akar maca dan madu.

Jus itu berwarna hijau dan Maria menyajikannya dalam gelas kepada pelanggan.

“Jus katak boleh membantu mengatasi pelbagai penyakit. Ada yang mendakwa pulih daripada batuk kering selepas meminumnya,” kata seorang pelanggan.

Bagaimanapun, tidak ada bukti saintifik untuk mengesahkan kebaikan jus itu.

Katak dari spesies Telmatobius Culeus itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai katak air Titicaca dan disenaraikan sebagai hampir pupus oleh Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Semula Jadi.

Peminat jus itu, Cecilia Cahuana, 35, mendakwa jus itu mengandungi banyak vitamin dan protein.

Kebanyakan pelanggan Cruz berasal dari wilayah Andes. – myMetro

POTONG KEMALUAN KERANA MAIN TELEFON

Pembedahan berjaya dilaksanakan dengan baik

(Sumber Foto: myMetro)

Luohe (China): Seorang budak lelaki berusia tiga tahun menjalani pembedahan menyambung semula kemaluannya selepas ia dipotong kekasih bapa saudaranya pada 7 November lalu.

Menurut kanak-kanak itu, kekasih bapa saudaranya berang kerana dia menggunakan telefon pintarnya untuk mendengar muzik ketika wanita itu mandi.

Wanita itu bertindak memotong kemaluannya sebagai cara untuk melepaskan kemarahannya.

Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana menuai jagung.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital di Zhengzhou, tempat dia menjalani pembedahan selama enam jam untuk menyambung semula zakarnya sebelum dihantar ke Beijing untuk rawatan selanjutnya.

Doktor di First Hospital Universiti Peking berkata, pembedahan itu berjaya dilakukan dengan baik.-myMetro

MADU GHAIB: STATUS POLIGAMI SAH JIKA PENUHI SYARAT, RUKUN NIKAH

Gambar sekadar hiasan

PETALING JAYA: Pernikahan berstatus poligami yang dijalankan di luar negara adalah sah daripada segi hukum agama Islam dengan syarat, setiap rukun dan nikah dipenuhi semua pihak terlibat.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadot berkata, jika pernikahan itu dilakukan dengan adanya wali perempuan (bapa) atau wakil iaitu adik-beradik (perempuan), saksi dan cukup syarat, maka pernikahan tersebut adalah sah.

Katanya, pernikahan tersebut juga sah jika ia dikendalikan oleh jurunikah yang mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama di sesebuah negara itu.

"Tetapi sekiranya pernikahan itu dilakukan oleh pihak berkuasa agama yang tidak bertauliah atau tidak cukup syarat ditetapkan, maka status pernikahan tersebut tidak sah," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan suami kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu yang terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November selepas bernikah di negara jiran di utara tanahair.

Bagaimanapun, Noh berkata, individu yang ingin berpoligami sepatutnya menghantar permohonan tersebut ke mahkamah dan proses pernikahan pula mesti dilakukan di dalam negara.

"Semua individu yang memohon untuk berpoligami perlu bernikah di dalam negara. Kita ada peraturannya... mohonlah kepada mahkamah walaupun status isteri masih belum diketahui," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Amli Embong menyatakan pandangan berbeza mengenai kes poligami di mana akad nikahnya diadakan di luar negara.

Katanya, mana-mana pernikahan di luar negara dianggap tidak sah di sisi undang-undang di negara ini kerana pegesahan di mahkamah syariah di Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu.

"Sepatutnya dia tunggu pengesahan mahkamah untuk menentukan status pernikahan tersebut. Kalau ikut hukum asal, memang mereka tidak dibenarkan tinggal bersama kerana belum ada pengesahan lagi," katanya.

Beliau berkata, mengikut undang-undang, individu tersebut tiada halangan untuk berkahwin di negara ini kerana dia hanya perlu mendapat kebenaran untuk berpoligami daripada pihak berkuasa agama.

"Sebenarnya dia boleh berkahwin di Malaysia tetapi mengapa dia tidak berbuat demikian? Apa yang perlu dilakukan adalah mengikut prosedur, kemuka permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Selalunya yang akan ambil jalan pintas berkahwin di Thailand ini mungkin nak elak daripada diketahui isteri pertama tapi dalam kes suami mangsa MH370 ini, dia ada alasan untuk mohon berpoligami kerana status isterinya masih tidak diketahui," katanya.

Jelas Amli, mereka yang ingin berpoligami sebenarnya tidak perlu mendapat kebenaran daripada isteri pertama atau isteri-isteri sedia ada tetapi keputusan tersebut hanya ditentukan pihak berkuasa agama negeri.

"Kalau isteri pertama setuju, mahkamah tak setuju tak boleh juga. Mahkamah kena siasat suami sama ada dia layak atau tidak untuk berpoligami. Oleh itu, siasatan pihak berkuasa agama amat penting," katanya.

Amli berkata, individu terbabit mungkin berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah kerana poligami tanpa kebenaran mahkamah.

"Sepatutnya dia kena dapatkan khidmat nasihat peguam yang arif untuk menjelaskan mengenai perkara itu sebelum bertindak," katanya.-mStar