Showing posts with label Malaya. Show all posts
Showing posts with label Malaya. Show all posts

#MENGENANG QZ8501: TENTERA INDONESIA TERPAKSA HENTIKAN MISI PENCARIAN MANGSA SETELAH SEBULAN OPERASI, AHLI KELUARGA HARAP MISI DITERUSKAN

Operasi SAR saki-baki mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan pihak tentera.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: ‎Usaha mencari dan menyelamat (SAR) saki-baki mangsa dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501 di Selat Karimata ditamatkan pada hari ke-31 operasi.
Pengumuman tersebut disampaikan, Panglima Armada Indonesia Kawasan Barat, Laksda Widodo bersama permohonan maaf buat keluarga mangsa dan semua pihak yang masih berharap pencarian itu diteruskan, lapor portalDetik.com.

"Selaku komandan yang menyelaras SAR ini, kami menyampaikan kepada keluarga mangsa, permohonan maaf yang sedalam-dalamnya," ujar Widodo kepada wartawan di kapal perang Banda Aceh hari ini.

Seramai 70 daripada 162 mayat mangsa telah ditemukan.

Widodo mengatakan bahwa pihaknya telah berupaya semaksimum mungkin untuk memindahkan mayat dan badan pesawat.

"Ini adalah upaya maksimum kami. Dua hari terakhir, usaha penyelam mencari di bahagian yang baharu tidak membuahkan hasil,” ulas Panglima TNI Jeneral Moeldoko tentang hal tersebut.

Seluruh kapal KRI telah dikerah untuk meninggalkan Selat Karimata. Selain KRI Banda Aceh yang kembali ke Jakarta, kapal KRI ‎Yos Soedarso, KN Pacita, dan Kapal Crest Onyx juga pulang ke pangkalan masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Badan SAR (Basarnas) Indonesia, SB Supriyadi berkata, ketetapan mengenai pemberhentian operasi itu tersebut masih dibincangkan oleh pihak yang terlibat.

Katanya, operasi SAR standard yang dirangkakan selama seminggu telah berlanjutan sehingga 31 hari sejak nahas tersebut terjadi pada 28 Disember lepas. –Astro Awani

Surabaya: Ahli keluarga mangsa pesawat QZ8501 masih mengharapkan misi pencarian diteruskan walaupun pihak Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa suami isteri Indriyani Fandi Santoso berkata, walaupun dia menyedari cuaca mungkin menyukarkan operasi, namun dia berharap supaya ahli keluarganya itu dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, dia faham bukan semua mangsa yang mungkin dapat ditemui semula tetapi mereka sekeluarga tetap mengharapkan supaya pasangan itu dapat ditemui.

Hasrat yang sama turut dinyatakan seorang lagi ahli keluarga mangsa yang berharap operasi mencari mayat mangsa ini diteruskan.

Menurut Imam Sampurno, mereka sekeluarga hanya memfokuskan penemuan mayat ahli keluarganya dan tidak memikirkan soal insuran ataupun pampasan.

Imam memberitahu bahawa, dia mengharapkan anak, menantu dan seorang cucunya itu akan berjaya ditemui dengan segera.

"Kami berharap operasi ini masih terus dilakukan. Setiap hari saya akan menghubungi pihak Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) untuk mendapatkan perkembangan terkini," jelasnya kepada Detik News.com.

Walaupun Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam, pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) memberi jaminan akan meneruskan operasi mereka.

Ketua Pasukan DVI Komisioner Polis Dr Budiyono memberitahu, pasukan itu perlu meneruskan operasi itu walaupun operasi mencari dihentikan.

Menurutnya, operasi pengecaman ini berbeza dan tidak berkaitan dengan usaha pencarian mayat mangsa.

"Saya memberi jaminan, operasi pengecaman masih diteruskan. Ianya tidak akan dihentikan.

"Operasi ini sangat penting. Sekiranya ada nelayan yang menemui mayat mangsa, kami perlu melakukan proses pengecaman dengan segera.

“Apa yang pasti, tugas kami tidak akan dihentikan kecuali semua mayat sudah ditemui," katanya kepada Detik News.com.

Menurutnya, pihaknya juga akan memainkan peranan untuk menghubungi ahli keluarga mangsa sekiranya ada penemuan ataupun perkembangan baru berkenaan mangsa pesawat ini.

Setakat ini sebanyak 70 mayat sudah ditemui dan 54 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berjaya mengenal pasti satu lagi mayat berdasarkan kepada rekod perubatan gigi selain bekas kecederaan pada tulang klavikula mangsa.

Ketua pasukan DVI, Dr Budiyono berkata, mangsa terbaru yang berjaya dikenal pasti adalah Prawira Harja Subagio, 31, yang berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur.

Menurutnya, pengenalan mangsa dapat disahkan melalui pemeriksaan rekod perubatan gigi mangsa yang sepadan dengan data yang diterima daripada doktor gigi mangsa.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, ianya memang sepadan. Ini adalah satu daripada 15 lagi mayat mangsa yang masih belum dikenalpasti," katanya kepada DetikNews.com.

Budiyono menegaskan, kecederaan pada mayat mangsa juga sepadan dengan luka yang pernah dialami mangsa di tulang Klavikula iaitu di bahagian bahu kiri.

"Maklumat ini diterima daripada ahli keluarga mangsa yang menyatakan mangsa pernah di pasang kepingan logam serta skru pada bahu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Jawa Timur, Awi Setiyono memberitahu bahawa, pihaknya mendapatkan maklumat bahawa satu lagi mayat akan dihantar dari Pangkalan Bun ke Juanda sebelum dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Menurutnya, setibanya mayat itu ke hospital ini, jumlah keseluruhan mayat yang ditemui adalah 70 mangsa dan 55 daripadanya sudah dikenal pasti yang terdiri daripada 23 perempuan dan 32 lelaki. -myMetro

RAYUAN DALAM KES TRANSGENDER DIPUTUSKAN HARI INI

transgender

Rayuan dalam kes transgender diputuskan hari ini.

(Sumber Foto: mStar)

KUALA LUMPUR: Adakah kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain akan dibenarkan untuk merayu terhadap keputusan penting Mahkamah Rayuan berhubung isu transgender membabitkan lelaki Islam yang berpakaian wanita?

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan mereka bagi kebenaran untuk merayu daripada mahkamah tertinggi itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan sebagai tidak sah enakmen Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita.

Empat lagi pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Dalam permohonan bagi kebenaran, perayu mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk pertimbangan mahkamah.

Pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Jika Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bagi kebenaran, mereka boleh terus memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tetapi jika mereka gagal, keputusan Mahkamah Rayuan akan dikekalkan.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin - Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 -- dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa peruntukan itu menimbulkan diskriminasi terhadap lelaki Islam yang mengalami keadaan dikenali sebagai Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Mohd Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian untuk penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan  secara tidak adil meletakkan mereka tertakluk di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak  permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai melanggar perlembagaan.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden. –Astro Awani

#MENGENANG QZ8501: BANGKAI PESAWAT GAGAL DINAIKKAN

Pelampung yang digunakan untuk menaikkan bangkai pesawat.

(Sumber Foto: mStar)

JAKARTA: Pasukan penyelamat berjaya menaikkan bangkai pesawat AirAsia, QZ8501 hampir ke permukaan air sebelum ia tenggelam semula ke dasar Laut Jawa.

Situasi yang sukar itu berlaku berkutan pelampung untuk menaikkan bahagian utama pesawat malang itu menguncup.

Ketua Operasi  Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Suryadi Bambang Supriyadi berkata, empat lagi mayat ditemui pada Sabtu di sekitar kawasan bangkai itu.

"Pasukan penyelam berhadapan masalah kerana arus kuat dan jarak penglihatan yang kurang untuk melakukan persediaan untuk operasi mengangkat bangkai pesawat itu lagi," katanya.

Keseluruhannya, 69 mayat ditemui daripada 162 penumpang dan kru pesawat yang terhempas pada 28 Disember lalu itu.

Pihak berkuasa percaya lebih banyak mayat masih ada dalam bahagian utama kapal terbang itu, lapor The Jakarta Post. -mStar

#MENGENANG QZ8501: JATUH BERPUTAR

Antara gambar mencari dan penemuan serpihan bangkai QZ 8501.

(Sumber Foto: Mirror)

Jakarta: Data teknologi Automatic Dependent Surveillance–Broadcast (ADS-B) yang dirakam daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menunjukkan bahawa ia jatuh berputar ke dalam laut.

ADS-B adalah teknologi kerjasama pengawasan yang digunakan untuk menentukan kedudukan pesawat menerusi navigasi satelit yang disiarkan dari semasa ke semasa.

Menurut gambaran Aviation Safety Network, ketika pesawat naik mendadak sekitar 7.17 pagi (waktu tempatan), haluannya berubah 270 darjah ke barat.

Sebaik mencecah ketinggian 11,460 meter, arah pesawat membelok ke kiri sebelum berputar balik ke haluan asal dalam keadaan jatuh dengan kelajuan antara 3,353 meter hingga 7,315 meter seminit.

Mengikut maklumat pengesanan radar ADS-B terakhir yang dicatatkan pada ketinggian 7,315 meter, pesawat menukar haluan 197 darjah atau ke barat daya.

Ia kemudian dijangka jatuh terus ke laut.

Maklumat awal itu meleraikan persoalan mengapa kelajuan QZ8501 hanya 60 knots ketika hilang ketinggian, menurut Kompas.com

Ia sekali gus memperkukuh pendapat pemerhati penerbangan, Gerry Soejatman yang menyebut bahawa pesawat malang itu berkemungkinan jatuh hampir menegak. - myMetro

#MENGENANG QZ8501: LIMA MAYAT TERIKAT PADA KERUSI

Anggota penyelamat mengangkat mayat penumpang QZ8501 yang diterbangkan ke Pengkalan Bun.

(Sumber Foto: Sinar Harian)

PANGKALAN BUN - INDONESIA. Pasukan penyelam Indonesia, semalam menemui lima mayat penumpang yang masih terikat dengan tali pinggang pada kerusi masing-masing di bahagian utama pesawat QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.

Media tempatan melaporkan penemuan itu menjadikan jumlah mayat yang telah dibawa naik ke permukaan laut setakat ini berjumlah 58 orang.

Pegawai penyelaras operasi tersebut, S B Supriyadi berkata, kesemua mayat itu ditemui dalam kawasan berlumpur berhampiran bangkai pesawat terbabit.

"Kami percaya mereka mungkin tercampak keluar sejauh 50 meter (m) hingga 100 m dari bangkai pesawat terbabit," jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, pasukan penyelamat tersebut turut berjaya menemui bahagian utama pesawat QZ8501, di mana kebanyakan mayat mangsa dipercayai masih terperangkap di kerusi masing-masing, namun usaha itu tergendala berikutan jarak penglihatan di dasar laut itu hanya 2 meter.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan memaklumkan data diperoleh daripada pusat kawalan trafik udara menunjukkan pesawat tersebut naik lebih laju hingga menyebabkan enjinnya mati secara tiba-tiba sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Sementara itu, analisis awal ke atas rakaman suara kokpit turut mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut.  - AFP

#MENGENANG QZ8501: PENGGERA AMARAN BERBUNYI KUAT SEBELUM TERHEMPAS, KATA PENYIASAT

Gambar yang dirakam oleh sebuah kapal selam kawalan jauh milik kapal tentera laut Singapura, MV Swift Rescue pada 14 Januari lalu menunjukkan sebahagian serpihan badan pesawat QZ8501 di dasar Laut Jawa. (Gambar kecil) Kotak hitam.

(Sumber Foto: Kosmo)

JAKARTA – Sistem penggera di kokpit pesawat AirAsia QZ8501 berbunyi dengan kuat ketika dua juruterbang berusaha menstabilkan kapal terbang berkenaan beberapa saat sebelum ia terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu, kata seorang penyiasat semalam.

Seorang penyiasat yang enggan identitinya didedahkan berkata, bunyi bising beberapa alat penggera untuk memberitahu bahawa pesawat itu terhenti boleh didengari dalam rakaman perbualan kokpit QZ8501.

“Penggera-penggera ini boleh kami katakan berbunyi dengan kuat dan kami boleh mendengar suara juruterbang dan pembantunya sedang sibuk menstabilkan pesawat,” katanya kepada agensi berita AFP.

Penyiasat yang bertugas di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) itu juga memberitahu bahawa, bunyi yang keluar daripada penggera amaran berkenaan sangat kuat sehingga menenggelamkan suara dua juruterbang tersebut.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan memberitahu rakaman data penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan mendaki dengan sangat pantas sebelum terhenti dan terhempas di lautan ketika cuaca buruk.

“Pada minit-minit terakhir sebelum terhempas, QZ8501 mendaki dengan kelajuan yang tidak normal. “Pesawat berkenaan kemudiannya terhenti sebelum terhempas di laut,” ujarnya.

NTSC kini menganalisis dua kotak hitam yang mengandungi rakaman suara kokpit dan rakaman data penerbangan yang memantau setiap bahagian utama pesawat jenis Airbus A320-200 berkenaan.

Kedua-dua kotak hitam tersebut kini berada di sini untuk dianalisis.

Para penyiasat sebelum ini menolak nahas itu berpunca daripada aktiviti pengganas dan sedang menumpukan siasatan terhadap faktor kesilapan manusia dan kerosakan pesawat.

Ketua NTSC, Tatang Kurniadi berkata, laporan awal kemalangan itu akan siap pada 27 Januari ini, kira-kira sebulan selepas nahas berlaku.

Bagaimanapun, katanya, laporan penuh tidak akan didedahkan kepada umum dan hanya sebahagian kandungannya akan diberikan kepada pihak media.

Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura.

Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan pasukan penyelamat percaya masih ramai mangsa terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.

Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk menghampiri badan pesawat QZ8501 yang ditemui di dasar laut dekat Pulau Belitung sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.

Pesawat itu terhempas selepas menempuh cuaca buruk. – AFP

KES ALTANTUYA: ATAS DASAR APAKAH SIRUL DITAHAN, SOAL PEGUAMBELA KAMARUL HISHAM

Kamarul Hisham menyatakan bahawa langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan pihak berkuasa Malaysia.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan, menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.

“Kami telah dihubungi Sirul dan telah diberi mandat untuk membuat apa-apa tindakan undang-undang yang dibenarkan dalam keadaan ini,” ujar Kamarul Hisham sewaktu dihubungi Astro AWANI.

Beliau menyatakan bahawa langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan notis merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjut kepada permohonan ekstradisi itu.

“Setakat ini tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu,” ujar Kamarul Hisham yang menambah bahawa sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.

Sirul dikenakan perintah ekstradisi oleh Mahkamah Persekutuan bagi menjalani hukuman mati setelah sabit tuduhan membunuh model dan penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Minggu lalu,Bernama melaporkan bahawa pasukan peguambela Sirul akan mencabar permohonan ekstradisi ke atasnya jika pihak berkuasa Malaysia meminta supaya kerajaan Australia menghantar dia pulang ke negara ini.

Kamarul Hisham ketika itu berkata langkah itu akan dibuat bergantung kepada arahan yang akan diberikan oleh anak guamnya.- Astro Awani

KES ALTANTUYA: KOPERAL SIRUL AZHAR UMAR DITAHAN DI AUSTRALIA

Laman web INTERPOL memaparkan Sirul Azhar sebagai orang yang dikehendaki.

(Sumber Foto: Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Media Australia sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara Australia mungkin tidak akan meluluskan permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul kerana negara itu tidak mengiktiraf hukuman mati. – Sinar Harian

Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar sudah ditahan oleh pegawai imigresen di Queensland, Australia atas sabitan kes bunuh Altantuya Shaariibuu, lapor media Australia, ABC News hari ini.

Sirul Azhar ditahan semalaman di Brisbane selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadap anggota UTK itu yang dijatuhi hukuman gantung atas sabitan kes bunuh pada 2006.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Difahamkan Sirul Azhar masih ditahan pegawai imigresen Queensland tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka bersedia untuk menyerah balik beliau ke Malaysia.

Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan pada 2009.

Sementara itu, pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mahkamah Persekutuan turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya kerana gagal hadir ke mahkamah.

Sirul dipercayai pergi ke Australia pada Oktober tahun lalu.

Namun, dia dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi hukuman itu. -mStar

INFO

Pertuduhan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar

- Dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Kronologi perbicaraan kes bunuh Altantuya

- 15 November 2006 Azilah dan Sirul Azhar didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya.

- 7 Jun 2007 Hari pertama perbicaraan Azilah dan Sirul Azhar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

- 31 Oktober 2008 Mahkamah Tinggi Jenayah memerintahkan seorang lagi tertuduh, Abdul Razak Baginda dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu dipanggil membela diri.

- 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar.

- 10 dan 13 April 2009 Azilah dan Sirul Azhar masing-masing memfailkan notis rayuan ke atas sabitan dan hukuman.

- 10 Februari 2012 Pengurusan Kes di Mahkamah Rayuan 11 Jun 2013 dan Mahkamah Rayuan mendengar permohonan rayuan selama tiga hari.

- 23 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah serta Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

- 23 Jun 2014 Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan selama tiga hari.

- 25 Jun 2014 Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

- 13 Januari 2015 Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan. –Berita Harian

#MENGENANG QZ8501: TAMBAH KELAJUAN ‘LEBIH DARIPADA BIASA’ SEBELUM TERHENTI

Antara bangkai dan serpihan pesawat QZ8501.

(Sumber Foto: mStar dan AFP) 

JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu didapati menambah kelajuan "lebih daripada biasa" dan kemudian terhenti.

"Pada saat akhir, pesawat menambah kelajuan melebihi daripada kadar biasa," kata Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan yang merujuk kepada data radar.

"Pesawat itu secara tiba-tiba menambah kelajuan melebihi had biasa di mana ia mampu untuk naik. Kemudiannya ia terhenti," katanya kepada pemberita.

Pesawat QZ8501 terhempas pada 28 Disember lalu ketika cuaca buruk dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura.

Nahas itu mengakibatkan kesemua 162 penumpang dan anak kapal terkorban. - AFP

DUA MODEL PILIHAN RUMAH MANGSA BANJIR

Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan model rumah berkenaan kepada sidang media.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengemukakan dua model rumah bagi pembinaan semula rumah yang rosak sepenuhnya akibat banjir.

Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu berkonsepkan rumah atas tanah dan satu lagi, beralas tiang  setinggi 8 kaki akan dimajukan kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata model rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

“Ini salah satu daripada pilihan di mana ia dibina di atas tanah dengan ruang lantai seluas 660 kaki persegi. Yang kedua ini yang dikatakan 8 kaki daripada paras lantai (paras tanah). Kalau kawasan itu mudah ditenggelami air ia lebih terjamin,” kata Muhyiddin.

Proses pembinaan akan dimulakan secepat mungkin selepas pengesahan kerajaan negeri dan dijangka mengambil masa 75 hari untuk disiapkan.

“Pihak jawantakuasa di bawah Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan meniliti dahulu dan setelah disahkan jawatankuasa negeri dan tanah itu milik tuan rumah, projek akan dimulakan. Namun kalau ditumpang tanah lain (mereka perlu) selesaikan status tanah itu dahulu,” tambah Muhyiddin.

Mengikut data terkini, 2,606 unit kediaman mengalami kerosakan sepenuhnya dan 6,275 kediaman mengalami lain-lain kerosakan kecil.

Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas pasca banjir di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan rumah sementara kepada mangsa banjir seluruh negara.

Selain rumah yang dibina Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kuaters Angkatan Tentera dan Kem Khidmat Negara turut dijadikan sebagai pusat kediaman sementara kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan teruk pada struktur rumah mereka.

Pertama penempatan sementara kerana masih ada yang menumpang dengan keluarga. Jadi ada beberapa projek yang boleh digunakan (sebagai rumah sementara).

“Ini termasuk binaan bangunan PLKN, kem tentera dan lain-lain rumah milik kerajaan yang boleh digunakan untuk meringankan beban mereka bagi memiliki rumah (sementara) yang baik.

Kerajaan juga sudah memulakan penyampaian sumbangan wang ihsan RM500 kepada isi rumah mangsa banjir dan RM5,000 kepada waris yang kehilangan ahli keluarga. –Astro Awani

“Jika ada daerah dan jajahan sudah selesai, boleh diberikan dahulu wang ihsan berkenaan kerana kita tidak mahu mangsa menunggu lama kerana mahu mengurangkan beban ditanggung mereka.

Malah, katanya, petani, nelayan dan penternak ikan air tawar yang terjejas akibat banjir akan diberikan bantuan ihsan mengikut kadar biasa digunakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. -myMetro

TANGAN BAHARU AINAA AMANDA ‘TAK SABAR NAK TUNJUK KAWAN’

Ainaa Amanda Shahzali teruja dengan tangan mekanikal dihadiahkan kepadanya di Bukit Merah Laketown Resort, Bagan Serai, Perak.

(Sumber Foto: Utusan Online dan MyMetro) 

Pendang: “Cikgu suruh adik (Amanda) bawa tangan baru ke sekolah untuk tunjuk pada kawan-kawan,” spontan kata Ainaa Amanda Shahzali, 7, kanak-kanak perempuan yang tiada pergelangan tangan kanan mengenai tangan mekanikal yang diterimanya, kelmarin.

Amanda berkata, gurunya memintanya membawa tangan mekanikal itu ke sekolah bagi ditunjukkan kepada rakan selain memudahkan proses pembelajaran.

“Adik rasa tidak sabar membawanya ke sekolah untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan tetapi perlu membiasakan diri menggunakannya.

“Apabila memiliki tangan (mekanikal) ini, adik kini boleh mengemas sendiri bilik dengan lebih cepat tanpa pertolongan mama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelutong, Tobiar, di sini, semalam.

Amanda menerima tangan ‘bionik’ berkenaan daripada seorang ahli perniagaan, Sujana Mohd Rejab, 47, kelmarin, yang prihatin dengan nasib kanak-kanak itu selepas disiarkan akhbar ini, minggu lalu.

Ibunya Habibah Hassan, 42, berkata dia belum membenarkan anaknya memakai tangan baru itu ke sekolah kerana perlu membiasakan diri yang mengambil tempoh antara sebulan sehingga tiga bulan dan setakat ini Amanda hanya boleh memegang benda besar dan ringan.

Menurutnya, Amanda perlu membuatkan dirinya berasa selesa apabila menggunakan tangan mekanikal itu agar dia dapat memberi reaksi dengan baik disebabkan ia masih baru sekali gus memerlukan keyakinan diri.

“Walaupun masih baru menggunakannya, namun Amanda sudah kelihatan selesa dengan keadaan tangan barunya yang membantunya untuk berdikari biarpun pada mulanya dia agak ketakutan mungkin disebabkan sudah terbiasa tiada pergelangan tangan kanan.

“Dia (Amanda) tidak mahu memakai tangan mekanikal itu kerana keadaannya bersegi-segi dan menggelarkannya sebagai T-Rex tetapi selepas dipujuk beberapa kali, akhirnya dia akur untuk mencuba dan akhirnya dia suka tangan berkenaan.

“Reka bentuk tangan itu sedikit kasar kerana disalut dengan getah di sekeliling jari, namun ia masih di peringkat percubaan. Insya Allah tangan mekanikal itu bakal dilakukan penambahbaikan dengan tekstur permukaannya menyerupai kulit manusia,” katanya.

Menurutnya, buat permulaan, tangan mekanikal berkenaan hanya dipakai di rumah untuk Amanda menyesuaikan diri sebelum boleh dibawa ke sekolah kerana tidak mahu anaknya menjadi perhatian kerana keunikan itu.

“Saya tidak mahu Amanda membawa tangan ini sekarang kerana bimbang dia mungkin rimas dan akan menanggalkannya atau membuangnya mahupun rosak ketika berada di sekolah.

“Biarlah Amanda betul-betul bersedia untuk memakainya dan tidak menanggalkan tangan ini kerana saya mahu dia menghargai pemberian ini.

“Walaupun tangan mekanikal ini tidak berapa sempurna, setidak-tidaknya ia sokongan terbaik untuknya dan percaya Amanda dapat merasai peluang untuk sama-sama menerokai dunia kanak-kanaknya dengan lebih luas seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun masih baru menggunakannya, namun Amanda mampu mengadaptasi tangan mekanikal itu dengan keadaan sekelilingnya.

“Kalau dahulu Amanda terpaksa bersalam menggunakan tangan kiri, kini Alhamdulillah dia bersalam menggunakan tangan kanannya.

“Saya bersyukur dan terharu kepada Allah SWT apabila dikurniakan seorang anak yang bijak seperti Amanda kerana dia juga rajin membantu dalam melakukan kerja rumah walaupun belum mengerti apa-apa pada usia berkenaan tetapi saya rasa amat gembira dengan kehadirannya,” katanya.

Kisah Amanda yang kudung pergelangan tangan kanan sejak lahir mendapat perhatian ramai apabila video perbualannya dengan ibunya dalam kereta selepas pulang dari sekolah menjadi ‘viral’ di media sosial sepanjang minggu lalu.

Dalam temu bual eksklusif disiarkan Harian Metro 15 Januari lalu, Habibah memberikan jawapan menyentuh perasaan ramai apabila memberitahu Amanda tangannya berada di syurga sejurus kanak-kanak itu bertanya di mana tangannya yang kudung itu.

Keesokannya, Harian Metro melaporkan keadaan Amanda menjalani sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh, Tobiar, Pendang Kedah.

Malah, laman peminat Amanda di Facebook yang turut mengandungi log video (V-log) memaparkan aksi kepetahannya kini mempunyai 80,000 pengikut sejak diwujudkan pada 13 Januari lalu.-MyMetro

Sementara itu, penyumbang tangan berkenaan, Sujana Mohd. Rejab, 47, berkata, dia segera berhubung dengan Habibah selepas mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut di laman sosial.

Sujana yang mencipta sendiri tangan mekanikal itu dengan bantuan seorang rakannya selama dua hari berkata, pada kebiasaan, seseorang itu memerlukan masa antara satu hingga ke tiga bulan untuk membiasakan diri menggunakannya.

“Set tangan ini masih di peringkat awal. Apabila adik Ainaa Amanda sudah selesa dan mahir menggunakannya, kami akan membuat penambahbaikan supaya kelihatan lebih kemas dan menarik,” katanya. –Utusan Online

KANAK-KANAK PEREMPUAN DIKURUNG SEJAK NOVEMBER TAHUN LEPAS

Kanak-kanak yang dikurung sejak November lalu dalam keadaan kelaparan.

(Sumber Foto: mStar)

BUTTERWORTH: Kanak-kanak perempuan yang diselamatkan di Sungai Dua, di sini dalam keadaan kelaparan, Khamis lalu, dipercayai dibiar tinggal bersendirian di rumah kosong tanpa bekalan elektrik dan air sejak November tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan polis mendapati kanak-kanak itu dikurung di rumah sewa lama keluarganya dan diberi makanan dan minuman sekali-sekala sahaja.

"Dia dibiar tinggal di situ bersendirian. Dia tidur, buang air besar dan kecil di bilik dia dikurung sejak November tahun lepas.

"Tiada sesiapa termasuk jiran di kawasan flat berkenaan yang menyedari kanak-kanak itu dikurung di rumah sewa yang sebelum ini keluarga mangsa pernah tinggal kerana tidak pernah dengar suara orang menangis atau meminta tolong serta ia gelap," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Seberang Jaya di sini, Isnin.

Kanak-kanak perempuan murid Tahun Satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik selepas seorang guru membuat laporan polis mengesyaki sesuatu berlaku selepas dia tidak hadir ke sekolah.

Abdul Rahman berkata, kanak-kanak itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya dan dari segi kecederaan luaran doktor mengesahkan hanya terdapat kesan lebam dan tiada kesan kecederaan akibat didera.

Beliau berkata polis telah mendapat perintah lanjutan reman selama tiga hari terhadap bapa kanak-kanak itu dan polis juga telah mengambil keterangan ibu tiri kanak-kanak itu Sabtu lepas.

"Kertas siasatan hampir siap dan mungkin esok kami akan serah kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. Mungkin kami akan dakwa Rabu ini," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis masih gagal mengesan ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang dipercayai telah pulang ke Indonesia.-mStar

#MENGENANG QZ8501: DUA LAGI MAYAT MANGSA DITEMUI

Setakat ini Basarnas telah menemui 53 jenazah dengan 45 telah dikenal pasti.

Sumber Foto: Astro Awani 

KUALA LUMPUR: Dua lagi mayat mangsa penerbangan QZ8501 ditemui di kawasan pencarian utama dan telah dipindahkan oleh kapal mencari dan menyelamat (SAR) ke Pangkalan Bun.

AirAsia dalam kenyataannya malam Ahad berkata setakat ini, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Republik Indonesia mengesahkan telah menemui sejumlah 53 mayat dengan 45 telah dikenal pasti, enam sedang dikenal pasti dan dua lagi masih belum tiba di Hospital Bhayangkara.

Kenyataan itu menyebut Jabatan Pengenalpasti Mangsa Bencana (DVI) Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) kini sedang mengumpul lebih banyak bukti DNA yang diperlukan bagi menyamakan data ante-mortem dan post-mortem kepada enam mayat yang sedang dikenalpasti.

Sementara itu, operasi SAR diteruskan pagi ini walaupun ombak besar dan arus deras menyebabkan usaha penyelam bagi menghampiri serpihan fiuslaj yang berada di kedalaman 28 meter di dasar Laut Jawa tertunda.

"Penyelam telah mencuba menghampiri serpihan tersebut untuk pemerhatian yang lebih lanjut tetapi kembali ke permukaan kerana keadaan laut yang bergelora," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Basarnas memberi jaminan misi mencari dan menyelamat penumpang QZ8501 masih menjadi keutamaan kerana disyaki masih banyak penumpang terperangkap di bawah serpihan tersebut. –Astro Awani

RAKAMAN VIDEO PEKERJA KFC BERGADUH JADI VIRAL

Antara babak rakaman video 36 saat pergaduhan dua pekerja KFC.

Sumber Foto: youtube

PETALING JAYA: Rakaman video pergaduhan dua pekerja Kentucky Fried Chicken (KFC) menjadi viral di laman sosial.

Berdasarkan status yang dipaparkan di laman rasmi Facebook kumpulan rangkaian makanan segera itu,  mereka bergaduh mengenai masalah peribadi.
Status di laman itu juga menjelaskan pergaduhan itu berlaku di antara adik beradik.

Timbalan Kanan Presiden KFC, MJ Ling berkata, siasatan dalaman masih dilakukan.

Ling menulis, pihak syarikat telah memulakan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar insiden ini berlaku.

"KFC menjalankan latihan terperinci kepada kakitangan bagi menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku ketika  bekerja, namun ia gagal dielakkan.

"Kami akan memperbaiki program yang ada bagi mengelak kejadian sama berulang lagi," jelas Ling.

Rakaman video berdurasi 36 saat itu dirakam oleh pelanggan ketika menunggu giliran untuk membuat pesanan di KFC Jalan Raja Laut.

Pergaduhan menunjukkan pekerja wanita memulakan pergaduhan dengan seorang  budak penghantar (delivery boy).

Dalam masa sama, seorang lagi pekerja lelaki muncul memberi  'flying kick' kepada budak penghantar itu, manakala seorang lagi pekerja lelaki cuma menenangkan keadaan.

Rakaman video berakhir apabila mereka yang terlibat bergerak ke bahagian dapur, kemungkinan untuk mengelakkan lebih banyak perhatian daripada pelanggan.

Sehingga kini, video yang dimuat naik pada petang Sabtu telah ditonton sebanyak 47,861 kali. -mStar

JERUTAN MAUT TALI GETAH, BAPA DIPERCAYAI BUNUH ANAK LEMBAM

Mayat mangsa dibawa keluar untuk dibedah siasat di Hospital Parit Buntar.

(Sumber Foto: myMetro)

IPOH 10 Dis. - Seorang bapa ditahan kerana dipercayai membunuh anak sulungnya yang merupakan remaja lembam berusia 21 tahun di Simpang Lima, Parit Buntar, dekat sini kelmarin.

Ketika ditahan di rumahnya di Jalan Terusan di sini kira-kira pukul 7 pagi, suspek yang berusia 46 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa, Ahmad Solehin Abdul Harif di atas katil di tingkat bawah rumah itu, dalam keadaan lehernya dililit dengan tali getah pengikat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Omar Bakhtiar Yaakob berkata, suspek sebelum itu dikatakan telah mengejutkan mangsa yang tidur di tingkat atas rumahnya kira-kira pukul 3 pagi dan membawanya ke bawah.

Katanya, suspek kemudian telah naik semula ke tingkat atas dan mengejutkan anak-anaknya yang lain serta meminta maaf kepada mereka sebelum turun semula.

“Setelah pagi, adik lelaki mangsa bangun dari tidur dan terkejut mendapati mangsa terbaring dalam keadaan terlentang di atas katil bersama suspek.

“Dia cuba mengejutkan kedua-duanya namun mereka tidak bergerak lalu menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Omar Bakhtiar berkata, pembantu perubatan yang dipanggil kemudian mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia manakala suspek dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Jelas beliau, sehingga kini polis masih gagal mendapatkan kerjasama daripada suspek berhubung penglibatannya meskipun dia telah sedar kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat empat kesan jerutan di bahagian leher mangsa dan sebab kematiannya adalah lemas,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan memohon tahanan reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.- Utusan Online

BAYI PEREMPUAN MAUT TERSEDAK SUSU IBU

Bayi-Enam-Bulan-Maut-Tersedak-Susu-565x293

(Gambar sekadar hiasan)

KOTA BHARU 10 Dis. – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan me­ninggal dunia akibat tersedak susu ibunya di Taman Zasba, Pantai Cahaya Bulan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, 9 Disember, kelmarin, Nik Nur Ainul Madiah Nik Mohd. Azhari ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya, Nik Mohd. Azhari Nik Ibrahim, 27, ketika bangun untuk solat subuh kira-kira pukul 5 pagi.

Nik Mohd. Azhari berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu terjaga kerana menangis pada pukul 4 pagi sebelum disusukan isterinya, Mahfuzah Ibrahim, 27.

“Kira-kira sejam kemudian, saya bangun sebelum mendapati mulut dan hidung anak saya dipenuhi dengan cecair dipercayai susu.

“Sebelum itu, saya dan isteri bergilir-gilir menjaganya kerana dia sering menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Nik Mohd. Azhari yang be­kerja sebagai penyelia projek sebuah syarikat swasta berkata, dia mendapati pipi anaknya sejuk selepas mengelap cecair yang keluar itu.

Menurutnya, dalam keadaan panik, dia terus membuka sarung tangan dan kepala yang dipakai Nik Nur Ainul Madiah.

“Saya mengangkat anak saya tetapi dia sudah tidak bermaya. Saya terus bergegas ke rumah ibu mertua yang terletak berhampiran kerana dia merupakan seorang bekas jururawat.

“Sejurus ibu mertua saya memegang Ainul, dia memberitahu anak saya sudah tiada,” katanya.

Tambah Nik Mohd. Azhari, dia dan isteri menerima kejadian itu dengan reda serta menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.

Jenazah Allahyarham telah se­lamat dikebumikan di Tanah Per­kuburan Islam Che Deris di sini. pada pukul 10 pagi semalam. –Utusan Online

POLIS DITAHAN CUBA SELUDUP MANUSIA

Suspek yang  bertugas di Seremban dicekup ketika cuba menyeludup keluar empat orang PATI .

(Sumber Foto: myMetro)

Padang Besar: Seorang anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal berusia 27 tahun dicekup pihak Imigresen ketika cuba menyeludup keluar empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) keluar melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin(ICQ) Padang Besar, Perlis kira-kira 7 pagi semalam (Ahad).

Suspek yang bertugas di Seremban berkenaan dicekup ketika cuba menyeludup keluar empat PATI dari Vietnam di laluan keluar kompleks ICQ Padang Besar di sini.

Difahamkan, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu mengambil kempat-empat PATI itu di Stesyen Bas Changlun sebelum menyembunyikan dua daripada PATI berkenaan di dalam bonet belakang kereta miliknya manakala dua lagi di bahagian penumpang belakang dan depan kereta.

Suspek kemudian ditahan Imigresen ketika melalui laluan keluar ICQ Padang Besar menuju ke Thailand sebelum ditahan pihak Imigresen bertugas di situ.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Imigresen negeri Zulhilmi Zulkifli ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek kini direman selama tujuh hari dan PATI berkenaan kini ditahan pihaknya.

Katanya, suspek yang dipercayai sudah empat kali melakukan aktiviti penyeludupan manusia sebelum ini akan disiasat mengikut Seksyen 26K(2) Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. –myMetro

13 KENDERAAN TERLIBAT KEMALANGAN DI JALAN RAYA SEREMBAN–KUALA PILAH

lori

Keadaan kenderaan yang berlanggar di Jalan Seremban – Kuala Pilah

(Sumber Foto: myMetro)

SEREMBAN 2 Dis. - Sebanyak 13 kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Seremban - Kuala Pilah selepas sebuah lori tangki membawa minyak kelapa sawit dirempuh daripada belakang oleh sebuah lori lain menyebabkan minyak tumpah di jalan raya.

Menurut sumber bomba dan penyelamat negeri, kejadian berlaku sekitar pukul 11 pagi ini dan kenderaan yang berlanggar dan terbabas berlanggar belakang kenderaan antara satu sama lain, berpunca daripada tumpahan minyak kelapa sawit berkenaan.

Kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori treler, dua buah lori tangki, lapan buah kereta, sebuah bas dan satu lori ‘pick up’.

Setakat ini tiada mangsa dilaporkan parah manakala beberapa mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital berhampiran oleh orang ramai.

Ketika ini kerja membersih dan pemantauan di lokasi sedang dilakukan agensi keselamatan dan penyelamat.

Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati kerana laluan di situ licin akibat kebocoran tangki dan tumpahan minyak kelapa sawit daripada lori yang terlibat kemalangan. –Utusan

LELAKI PANDU ASTON MARTIN MAUT KEMALANGAN

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM18 Lebuhraya Baru Pantai.

(Sumber Foto: mStar)

PETALING JAYA: Pemandu kereta jenis Aston Martin terbunuh di tempat kejadian selepas keretanya merempuh tiang dan penghadang jalan di KM18 Lebuhraya Baru Pantai.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Muhammad Sirajullah Abu Bakar, 30, cuba mengelak daripada sebuah motosikal dari arah lalu lintas bertentangan di lorong memotong, kira-kira pukul 1.40 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata Muhammad Sirajullah sedang memandu dari Pantai Dalam apabila kemalangan itu berlaku berhampiran Jalan Templer.

"Kereta itu terbabas dan merempuh tiang dan penghadang jalan apabila pemandunya cuba mengelak daripada sebuah motosikal. Pemandu tercampak ke luar kereta dan mati di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata bahagian-bahagian enjin, tayar dan pemuka kereta terbabit berterbangan ke sebuah kereta Proton Persona di lorong tengah. Pemandunya, Azlin Mohamed Azhari, 43, cedera ringan.
Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. –mStar

PENGALAMAN NGERI IBU DAN ANAK PEREMPUAN DALAM SEBUAH ROMPAKAN

rompakan

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Abdul Rozak Mohammad mengesahkan kejadian itu dan berkata polis perompak sedang diburu.

(Sumber Foto: The Malay Mail)

PETALING JAYA, 2 Dis - Seorang ibu dan dua orang anak perempuannya mempunyai pengalaman yang mengerikan apabila dua perompak memecah masuk rumah mereka di Pasir Puteh, Kelantan pada hari Ahad lepas.

Perompak bertindak menyerang Hat Tema Mat Zin, 58, dan salah seorang daripada mereka cuba merogol anak perempuannya, Nur Shafiqa Lah, 22, dalam kejadian pada jam dua petang.

Siasatan mendapati semasa perompak memecah masuk rumah itu, Shafiqa berada di bilik mandi. Manakala Tema berada di ruang tamu dan anak perempuannya lain yang berusia 18 tahun iaitu Nur Shafatini Lah, sedang berada di dalam biliknya.

Perompak itu memakai topi keledar dengan visor telah menyerang ibu tersebut sejurus memasuki rumah di Wakaf Berangan Sri Aman.

"Salah seorang daripada mereka menendang pintu bilik mandi sehingga terbuka. Shafiqa yang berada di bawah pancuran air telah diheret keluar ke arah dapur di mana ibunya terbaring atas lantai dalam kesakitan," kata sumber polis.

Perompak tersebut memberitahu Shafiqa untuk mengambil cincin ibunya.

"Selepas dia mencabut cincin itu, salah seorang lelaki membawanya ke sebuah bilik di tingkat atas dan cuba merogolnya tetapi dipanggil semula ke ruang tamu dengan rakan sejenayahnya," kata sumber itu.

Shafiqa telah dikunci dalam bilik sendirian dan dengan segera dia meminta tolong dari tingkap.

Perompak seterusnya melarikan diri apabila mereka mendengar suara Shafiqa menangis meminta tolong. Mereka melarikan diri dengan cincin, gelang dan telefon mudah alih.

Sepanjang kejadian itu, Shafatini yang berada di bilik hanya mengunci pintu dan bersembunyi di bawah katil.

Tema pula cedera di bawah mata kanan dan luka di pipi kiri, sementara Shafiqa mengalami luka di mukanya.

Mereka dibawa ke Hospital Tengku Anis dan akan dirujuk ke Hospital Sains Malaysia untuk rawatan lanjut. –The Malay Mail