Artikel Terbaru

#MENGENANG QZ8501: TENTERA INDONESIA TERPAKSA HENTIKAN MISI PENCARIAN MANGSA SETELAH SEBULAN OPERASI, AHLI KELUARGA HARAP MISI DITERUSKAN

Operasi SAR saki-baki mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan pihak tentera.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: ‎Usaha mencari dan menyelamat (SAR) saki-baki mangsa dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501 di Selat Karimata ditamatkan pada hari ke-31 operasi.
Pengumuman tersebut disampaikan, Panglima Armada Indonesia Kawasan Barat, Laksda Widodo bersama permohonan maaf buat keluarga mangsa dan semua pihak yang masih berharap pencarian itu diteruskan, lapor portalDetik.com.

"Selaku komandan yang menyelaras SAR ini, kami menyampaikan kepada keluarga mangsa, permohonan maaf yang sedalam-dalamnya," ujar Widodo kepada wartawan di kapal perang Banda Aceh hari ini.

Seramai 70 daripada 162 mayat mangsa telah ditemukan.

Widodo mengatakan bahwa pihaknya telah berupaya semaksimum mungkin untuk memindahkan mayat dan badan pesawat.

"Ini adalah upaya maksimum kami. Dua hari terakhir, usaha penyelam mencari di bahagian yang baharu tidak membuahkan hasil,” ulas Panglima TNI Jeneral Moeldoko tentang hal tersebut.

Seluruh kapal KRI telah dikerah untuk meninggalkan Selat Karimata. Selain KRI Banda Aceh yang kembali ke Jakarta, kapal KRI ‎Yos Soedarso, KN Pacita, dan Kapal Crest Onyx juga pulang ke pangkalan masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Badan SAR (Basarnas) Indonesia, SB Supriyadi berkata, ketetapan mengenai pemberhentian operasi itu tersebut masih dibincangkan oleh pihak yang terlibat.

Katanya, operasi SAR standard yang dirangkakan selama seminggu telah berlanjutan sehingga 31 hari sejak nahas tersebut terjadi pada 28 Disember lepas. –Astro Awani

Surabaya: Ahli keluarga mangsa pesawat QZ8501 masih mengharapkan misi pencarian diteruskan walaupun pihak Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa suami isteri Indriyani Fandi Santoso berkata, walaupun dia menyedari cuaca mungkin menyukarkan operasi, namun dia berharap supaya ahli keluarganya itu dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, dia faham bukan semua mangsa yang mungkin dapat ditemui semula tetapi mereka sekeluarga tetap mengharapkan supaya pasangan itu dapat ditemui.

Hasrat yang sama turut dinyatakan seorang lagi ahli keluarga mangsa yang berharap operasi mencari mayat mangsa ini diteruskan.

Menurut Imam Sampurno, mereka sekeluarga hanya memfokuskan penemuan mayat ahli keluarganya dan tidak memikirkan soal insuran ataupun pampasan.

Imam memberitahu bahawa, dia mengharapkan anak, menantu dan seorang cucunya itu akan berjaya ditemui dengan segera.

"Kami berharap operasi ini masih terus dilakukan. Setiap hari saya akan menghubungi pihak Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) untuk mendapatkan perkembangan terkini," jelasnya kepada Detik News.com.

Walaupun Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam, pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) memberi jaminan akan meneruskan operasi mereka.

Ketua Pasukan DVI Komisioner Polis Dr Budiyono memberitahu, pasukan itu perlu meneruskan operasi itu walaupun operasi mencari dihentikan.

Menurutnya, operasi pengecaman ini berbeza dan tidak berkaitan dengan usaha pencarian mayat mangsa.

"Saya memberi jaminan, operasi pengecaman masih diteruskan. Ianya tidak akan dihentikan.

"Operasi ini sangat penting. Sekiranya ada nelayan yang menemui mayat mangsa, kami perlu melakukan proses pengecaman dengan segera.

“Apa yang pasti, tugas kami tidak akan dihentikan kecuali semua mayat sudah ditemui," katanya kepada Detik News.com.

Menurutnya, pihaknya juga akan memainkan peranan untuk menghubungi ahli keluarga mangsa sekiranya ada penemuan ataupun perkembangan baru berkenaan mangsa pesawat ini.

Setakat ini sebanyak 70 mayat sudah ditemui dan 54 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berjaya mengenal pasti satu lagi mayat berdasarkan kepada rekod perubatan gigi selain bekas kecederaan pada tulang klavikula mangsa.

Ketua pasukan DVI, Dr Budiyono berkata, mangsa terbaru yang berjaya dikenal pasti adalah Prawira Harja Subagio, 31, yang berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur.

Menurutnya, pengenalan mangsa dapat disahkan melalui pemeriksaan rekod perubatan gigi mangsa yang sepadan dengan data yang diterima daripada doktor gigi mangsa.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, ianya memang sepadan. Ini adalah satu daripada 15 lagi mayat mangsa yang masih belum dikenalpasti," katanya kepada DetikNews.com.

Budiyono menegaskan, kecederaan pada mayat mangsa juga sepadan dengan luka yang pernah dialami mangsa di tulang Klavikula iaitu di bahagian bahu kiri.

"Maklumat ini diterima daripada ahli keluarga mangsa yang menyatakan mangsa pernah di pasang kepingan logam serta skru pada bahu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Jawa Timur, Awi Setiyono memberitahu bahawa, pihaknya mendapatkan maklumat bahawa satu lagi mayat akan dihantar dari Pangkalan Bun ke Juanda sebelum dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Menurutnya, setibanya mayat itu ke hospital ini, jumlah keseluruhan mayat yang ditemui adalah 70 mangsa dan 55 daripadanya sudah dikenal pasti yang terdiri daripada 23 perempuan dan 32 lelaki. -myMetro

RAYUAN DALAM KES TRANSGENDER DIPUTUSKAN HARI INI

transgender

Rayuan dalam kes transgender diputuskan hari ini.

(Sumber Foto: mStar)

KUALA LUMPUR: Adakah kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain akan dibenarkan untuk merayu terhadap keputusan penting Mahkamah Rayuan berhubung isu transgender membabitkan lelaki Islam yang berpakaian wanita?

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan mereka bagi kebenaran untuk merayu daripada mahkamah tertinggi itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan sebagai tidak sah enakmen Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita.

Empat lagi pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Dalam permohonan bagi kebenaran, perayu mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk pertimbangan mahkamah.

Pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Jika Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bagi kebenaran, mereka boleh terus memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tetapi jika mereka gagal, keputusan Mahkamah Rayuan akan dikekalkan.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin - Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 -- dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa peruntukan itu menimbulkan diskriminasi terhadap lelaki Islam yang mengalami keadaan dikenali sebagai Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Mohd Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian untuk penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan  secara tidak adil meletakkan mereka tertakluk di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak  permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai melanggar perlembagaan.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden. –Astro Awani

SAMPAH JADI REZEKI

Antara foto di tempat pembuangan sampah, Bangladesh.

(Sumber Foto: myMetro)

Kanak-kanak tersenyum ketika menonton televisyen adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi ketika mereka menonton program kegemaran mereka.

Tetapi lain pula cerita kanak-kanak ini yang cukup gembira dapat mengutip rangka televisyen rosak di tempat pembuangan sampah.

Inilah sebahagian daripada kanak-kanak yang tinggal dan bekerja di tapak pelupusan di Sylhet, antara bandar terkaya Bangladesh, demi mencari nafkah dengan mengutip sisa orang lain, termasuk sisa perubatan.

Di sebalik senyuman yang terukir pada wajah mereka terlindung kepayahan hidup yng mereka perlu harung apabila terpaksa berdepan bahaya selama berjam-jam untuk mendapatkan sesuap nasi.

Meskipun banyak hotel ala Barat, pusat beli-belah dan kawasan perumahan mewah, masih ada penduduk yang terpaksa mengutip sisa sampah semata-mata mahu meneruskan kehidupan.

Mereka menyelongkar timbunan sampah untuk mencari barangan isi rumah yang boleh dijual semula di pasaran- dan makanan untuk diberi kepada keluarga mereka.

Ramai dalam kalangan mereka yang duduk di tengah timbunan sampah tanpa kasut atau hanya memakai sandal, dan tidak mengguna sarung tangan.

Menurut Global Alliance of Waste Pickers, kitar semula ialah industri yang paling menguntungkan di Bangladesh, dengan hampir 200 kilang memproses botol plastik untuk dieksport ke China dan Thailand.

Dipercayai hampir 100,000 penduduk di Dhaka bekerja sebagai pengutip sampah dan kebanyakan mereka tidak boleh membaca atau menulis, tetapi bekerja keras untuk mendapatkan wang.

Ada dalam kalangan mereka memperoleh sekitar £1 (RM5.50) dan £1.50 (RM8.20) sehari selepas menyelongkar timbungan sampah selama 20 jam.

Bagi kanak-kanak itu, mereka adalah sebahagian daripada jutaan kanak-kanak Bangladesh yang kekurangan nutrisi. -myMetro

VIDEO VIRAL: IBU BUTA DAPAT LIHAT BAYI YANG DILAHIRKAN UNTUK PERTAMA KALI

Video viral seorang ibu buta dapat lihat bayi yang dilahirkan atas bantuan set diikat di kepala.

(Sumber Foto: Video Youtube)

WASHINGTON: Sebuah video yang menunjukkan seorang ibu buta di Kanada melihat bayi yang baru dilahirkan untuk pertama kali menggunakan cermin mata khas yang dapat meningkatkan penglihatan telah menjadi viral.

Video yang disiarkan di YouTube ( https://www.youtube.com/watch?v=e9crPvfcEy4 ) itu menunjukkan Kathy Beitz, 29, sedang melihat bayi lelakinya yang baru lahir dengan bantuan set tersebut yang diikat di kepala.

"Untuk bayi pertama yang saya benar-benar dapat melihatnya, saya berasa sangat terharu," kata Beitz dalam video popular itu.

Beitz mempunyai genetik degenerasi makula dikenali sebagai penyakit Stargardt. Dia dapat melihat anaknya dengan bantuan cermin mata eSight dalam masa nyata.Imej-imej yang dipertingkatkan membolehkan orang-orang yang tidak buta sepenuhnya untuk melihat dunia di sekeliling mereka.

"Dia melahirkan bayi ini dan dia mahu melihatnya serta-merta," kata kakak Beitz, Yvonne Felix yang menyiarkan video itu.-mStar

#MENGENANG QZ8501: BANGKAI PESAWAT GAGAL DINAIKKAN

Pelampung yang digunakan untuk menaikkan bangkai pesawat.

(Sumber Foto: mStar)

JAKARTA: Pasukan penyelamat berjaya menaikkan bangkai pesawat AirAsia, QZ8501 hampir ke permukaan air sebelum ia tenggelam semula ke dasar Laut Jawa.

Situasi yang sukar itu berlaku berkutan pelampung untuk menaikkan bahagian utama pesawat malang itu menguncup.

Ketua Operasi  Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Suryadi Bambang Supriyadi berkata, empat lagi mayat ditemui pada Sabtu di sekitar kawasan bangkai itu.

"Pasukan penyelam berhadapan masalah kerana arus kuat dan jarak penglihatan yang kurang untuk melakukan persediaan untuk operasi mengangkat bangkai pesawat itu lagi," katanya.

Keseluruhannya, 69 mayat ditemui daripada 162 penumpang dan kru pesawat yang terhempas pada 28 Disember lalu itu.

Pihak berkuasa percaya lebih banyak mayat masih ada dalam bahagian utama kapal terbang itu, lapor The Jakarta Post. -mStar

#MENGENANG QZ8501: JATUH BERPUTAR

Antara gambar mencari dan penemuan serpihan bangkai QZ 8501.

(Sumber Foto: Mirror)

Jakarta: Data teknologi Automatic Dependent Surveillance–Broadcast (ADS-B) yang dirakam daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menunjukkan bahawa ia jatuh berputar ke dalam laut.

ADS-B adalah teknologi kerjasama pengawasan yang digunakan untuk menentukan kedudukan pesawat menerusi navigasi satelit yang disiarkan dari semasa ke semasa.

Menurut gambaran Aviation Safety Network, ketika pesawat naik mendadak sekitar 7.17 pagi (waktu tempatan), haluannya berubah 270 darjah ke barat.

Sebaik mencecah ketinggian 11,460 meter, arah pesawat membelok ke kiri sebelum berputar balik ke haluan asal dalam keadaan jatuh dengan kelajuan antara 3,353 meter hingga 7,315 meter seminit.

Mengikut maklumat pengesanan radar ADS-B terakhir yang dicatatkan pada ketinggian 7,315 meter, pesawat menukar haluan 197 darjah atau ke barat daya.

Ia kemudian dijangka jatuh terus ke laut.

Maklumat awal itu meleraikan persoalan mengapa kelajuan QZ8501 hanya 60 knots ketika hilang ketinggian, menurut Kompas.com

Ia sekali gus memperkukuh pendapat pemerhati penerbangan, Gerry Soejatman yang menyebut bahawa pesawat malang itu berkemungkinan jatuh hampir menegak. - myMetro

#MENGENANG QZ8501: LIMA MAYAT TERIKAT PADA KERUSI

Anggota penyelamat mengangkat mayat penumpang QZ8501 yang diterbangkan ke Pengkalan Bun.

(Sumber Foto: Sinar Harian)

PANGKALAN BUN - INDONESIA. Pasukan penyelam Indonesia, semalam menemui lima mayat penumpang yang masih terikat dengan tali pinggang pada kerusi masing-masing di bahagian utama pesawat QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.

Media tempatan melaporkan penemuan itu menjadikan jumlah mayat yang telah dibawa naik ke permukaan laut setakat ini berjumlah 58 orang.

Pegawai penyelaras operasi tersebut, S B Supriyadi berkata, kesemua mayat itu ditemui dalam kawasan berlumpur berhampiran bangkai pesawat terbabit.

"Kami percaya mereka mungkin tercampak keluar sejauh 50 meter (m) hingga 100 m dari bangkai pesawat terbabit," jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, pasukan penyelamat tersebut turut berjaya menemui bahagian utama pesawat QZ8501, di mana kebanyakan mayat mangsa dipercayai masih terperangkap di kerusi masing-masing, namun usaha itu tergendala berikutan jarak penglihatan di dasar laut itu hanya 2 meter.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan memaklumkan data diperoleh daripada pusat kawalan trafik udara menunjukkan pesawat tersebut naik lebih laju hingga menyebabkan enjinnya mati secara tiba-tiba sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Sementara itu, analisis awal ke atas rakaman suara kokpit turut mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut.  - AFP

#MENGENANG QZ8501: PENGGERA AMARAN BERBUNYI KUAT SEBELUM TERHEMPAS, KATA PENYIASAT

Gambar yang dirakam oleh sebuah kapal selam kawalan jauh milik kapal tentera laut Singapura, MV Swift Rescue pada 14 Januari lalu menunjukkan sebahagian serpihan badan pesawat QZ8501 di dasar Laut Jawa. (Gambar kecil) Kotak hitam.

(Sumber Foto: Kosmo)

JAKARTA – Sistem penggera di kokpit pesawat AirAsia QZ8501 berbunyi dengan kuat ketika dua juruterbang berusaha menstabilkan kapal terbang berkenaan beberapa saat sebelum ia terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu, kata seorang penyiasat semalam.

Seorang penyiasat yang enggan identitinya didedahkan berkata, bunyi bising beberapa alat penggera untuk memberitahu bahawa pesawat itu terhenti boleh didengari dalam rakaman perbualan kokpit QZ8501.

“Penggera-penggera ini boleh kami katakan berbunyi dengan kuat dan kami boleh mendengar suara juruterbang dan pembantunya sedang sibuk menstabilkan pesawat,” katanya kepada agensi berita AFP.

Penyiasat yang bertugas di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) itu juga memberitahu bahawa, bunyi yang keluar daripada penggera amaran berkenaan sangat kuat sehingga menenggelamkan suara dua juruterbang tersebut.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan memberitahu rakaman data penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan mendaki dengan sangat pantas sebelum terhenti dan terhempas di lautan ketika cuaca buruk.

“Pada minit-minit terakhir sebelum terhempas, QZ8501 mendaki dengan kelajuan yang tidak normal. “Pesawat berkenaan kemudiannya terhenti sebelum terhempas di laut,” ujarnya.

NTSC kini menganalisis dua kotak hitam yang mengandungi rakaman suara kokpit dan rakaman data penerbangan yang memantau setiap bahagian utama pesawat jenis Airbus A320-200 berkenaan.

Kedua-dua kotak hitam tersebut kini berada di sini untuk dianalisis.

Para penyiasat sebelum ini menolak nahas itu berpunca daripada aktiviti pengganas dan sedang menumpukan siasatan terhadap faktor kesilapan manusia dan kerosakan pesawat.

Ketua NTSC, Tatang Kurniadi berkata, laporan awal kemalangan itu akan siap pada 27 Januari ini, kira-kira sebulan selepas nahas berlaku.

Bagaimanapun, katanya, laporan penuh tidak akan didedahkan kepada umum dan hanya sebahagian kandungannya akan diberikan kepada pihak media.

Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura.

Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan pasukan penyelamat percaya masih ramai mangsa terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.

Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk menghampiri badan pesawat QZ8501 yang ditemui di dasar laut dekat Pulau Belitung sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.

Pesawat itu terhempas selepas menempuh cuaca buruk. – AFP