#MENGENANG QZ8501: TENTERA INDONESIA TERPAKSA HENTIKAN MISI PENCARIAN MANGSA SETELAH SEBULAN OPERASI, AHLI KELUARGA HARAP MISI DITERUSKAN

Operasi SAR saki-baki mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan pihak tentera.

(Sumber Foto: Astro Awani)

KUALA LUMPUR: ‎Usaha mencari dan menyelamat (SAR) saki-baki mangsa dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501 di Selat Karimata ditamatkan pada hari ke-31 operasi.
Pengumuman tersebut disampaikan, Panglima Armada Indonesia Kawasan Barat, Laksda Widodo bersama permohonan maaf buat keluarga mangsa dan semua pihak yang masih berharap pencarian itu diteruskan, lapor portalDetik.com.

"Selaku komandan yang menyelaras SAR ini, kami menyampaikan kepada keluarga mangsa, permohonan maaf yang sedalam-dalamnya," ujar Widodo kepada wartawan di kapal perang Banda Aceh hari ini.

Seramai 70 daripada 162 mayat mangsa telah ditemukan.

Widodo mengatakan bahwa pihaknya telah berupaya semaksimum mungkin untuk memindahkan mayat dan badan pesawat.

"Ini adalah upaya maksimum kami. Dua hari terakhir, usaha penyelam mencari di bahagian yang baharu tidak membuahkan hasil,” ulas Panglima TNI Jeneral Moeldoko tentang hal tersebut.

Seluruh kapal KRI telah dikerah untuk meninggalkan Selat Karimata. Selain KRI Banda Aceh yang kembali ke Jakarta, kapal KRI ‎Yos Soedarso, KN Pacita, dan Kapal Crest Onyx juga pulang ke pangkalan masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Badan SAR (Basarnas) Indonesia, SB Supriyadi berkata, ketetapan mengenai pemberhentian operasi itu tersebut masih dibincangkan oleh pihak yang terlibat.

Katanya, operasi SAR standard yang dirangkakan selama seminggu telah berlanjutan sehingga 31 hari sejak nahas tersebut terjadi pada 28 Disember lepas. –Astro Awani

Surabaya: Ahli keluarga mangsa pesawat QZ8501 masih mengharapkan misi pencarian diteruskan walaupun pihak Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa suami isteri Indriyani Fandi Santoso berkata, walaupun dia menyedari cuaca mungkin menyukarkan operasi, namun dia berharap supaya ahli keluarganya itu dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan.

Menurutnya, dia faham bukan semua mangsa yang mungkin dapat ditemui semula tetapi mereka sekeluarga tetap mengharapkan supaya pasangan itu dapat ditemui.

Hasrat yang sama turut dinyatakan seorang lagi ahli keluarga mangsa yang berharap operasi mencari mayat mangsa ini diteruskan.

Menurut Imam Sampurno, mereka sekeluarga hanya memfokuskan penemuan mayat ahli keluarganya dan tidak memikirkan soal insuran ataupun pampasan.

Imam memberitahu bahawa, dia mengharapkan anak, menantu dan seorang cucunya itu akan berjaya ditemui dengan segera.

"Kami berharap operasi ini masih terus dilakukan. Setiap hari saya akan menghubungi pihak Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) untuk mendapatkan perkembangan terkini," jelasnya kepada Detik News.com.

Walaupun Tentera Negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menghentikan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam, pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) memberi jaminan akan meneruskan operasi mereka.

Ketua Pasukan DVI Komisioner Polis Dr Budiyono memberitahu, pasukan itu perlu meneruskan operasi itu walaupun operasi mencari dihentikan.

Menurutnya, operasi pengecaman ini berbeza dan tidak berkaitan dengan usaha pencarian mayat mangsa.

"Saya memberi jaminan, operasi pengecaman masih diteruskan. Ianya tidak akan dihentikan.

"Operasi ini sangat penting. Sekiranya ada nelayan yang menemui mayat mangsa, kami perlu melakukan proses pengecaman dengan segera.

“Apa yang pasti, tugas kami tidak akan dihentikan kecuali semua mayat sudah ditemui," katanya kepada Detik News.com.

Menurutnya, pihaknya juga akan memainkan peranan untuk menghubungi ahli keluarga mangsa sekiranya ada penemuan ataupun perkembangan baru berkenaan mangsa pesawat ini.

Setakat ini sebanyak 70 mayat sudah ditemui dan 54 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berjaya mengenal pasti satu lagi mayat berdasarkan kepada rekod perubatan gigi selain bekas kecederaan pada tulang klavikula mangsa.

Ketua pasukan DVI, Dr Budiyono berkata, mangsa terbaru yang berjaya dikenal pasti adalah Prawira Harja Subagio, 31, yang berasal dari Sidoarjo, Jawa Timur.

Menurutnya, pengenalan mangsa dapat disahkan melalui pemeriksaan rekod perubatan gigi mangsa yang sepadan dengan data yang diterima daripada doktor gigi mangsa.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, ianya memang sepadan. Ini adalah satu daripada 15 lagi mayat mangsa yang masih belum dikenalpasti," katanya kepada DetikNews.com.

Budiyono menegaskan, kecederaan pada mayat mangsa juga sepadan dengan luka yang pernah dialami mangsa di tulang Klavikula iaitu di bahagian bahu kiri.

"Maklumat ini diterima daripada ahli keluarga mangsa yang menyatakan mangsa pernah di pasang kepingan logam serta skru pada bahu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Jawa Timur, Awi Setiyono memberitahu bahawa, pihaknya mendapatkan maklumat bahawa satu lagi mayat akan dihantar dari Pangkalan Bun ke Juanda sebelum dibawa ke Hospital Bhayangkara.

Menurutnya, setibanya mayat itu ke hospital ini, jumlah keseluruhan mayat yang ditemui adalah 70 mangsa dan 55 daripadanya sudah dikenal pasti yang terdiri daripada 23 perempuan dan 32 lelaki. -myMetro

0 komen:

Post a Comment