Gambar yang dirakam oleh sebuah kapal selam kawalan jauh milik kapal tentera laut Singapura, MV Swift Rescue pada 14 Januari lalu menunjukkan sebahagian serpihan badan pesawat QZ8501 di dasar Laut Jawa. (Gambar kecil) Kotak hitam.
(Sumber Foto: Kosmo)
JAKARTA – Sistem penggera di kokpit pesawat AirAsia QZ8501 berbunyi dengan kuat ketika dua juruterbang berusaha menstabilkan kapal terbang berkenaan beberapa saat sebelum ia terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu, kata seorang penyiasat semalam.
Seorang penyiasat yang enggan identitinya didedahkan berkata, bunyi bising beberapa alat penggera untuk memberitahu bahawa pesawat itu terhenti boleh didengari dalam rakaman perbualan kokpit QZ8501.
“Penggera-penggera ini boleh kami katakan berbunyi dengan kuat dan kami boleh mendengar suara juruterbang dan pembantunya sedang sibuk menstabilkan pesawat,” katanya kepada agensi berita AFP.
Penyiasat yang bertugas di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) itu juga memberitahu bahawa, bunyi yang keluar daripada penggera amaran berkenaan sangat kuat sehingga menenggelamkan suara dua juruterbang tersebut.
Pendedahan itu dibuat sehari selepas Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan memberitahu rakaman data penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan mendaki dengan sangat pantas sebelum terhenti dan terhempas di lautan ketika cuaca buruk.
“Pada minit-minit terakhir sebelum terhempas, QZ8501 mendaki dengan kelajuan yang tidak normal. “Pesawat berkenaan kemudiannya terhenti sebelum terhempas di laut,” ujarnya.
NTSC kini menganalisis dua kotak hitam yang mengandungi rakaman suara kokpit dan rakaman data penerbangan yang memantau setiap bahagian utama pesawat jenis Airbus A320-200 berkenaan.
Kedua-dua kotak hitam tersebut kini berada di sini untuk dianalisis.
Para penyiasat sebelum ini menolak nahas itu berpunca daripada aktiviti pengganas dan sedang menumpukan siasatan terhadap faktor kesilapan manusia dan kerosakan pesawat.
Ketua NTSC, Tatang Kurniadi berkata, laporan awal kemalangan itu akan siap pada 27 Januari ini, kira-kira sebulan selepas nahas berlaku.
Bagaimanapun, katanya, laporan penuh tidak akan didedahkan kepada umum dan hanya sebahagian kandungannya akan diberikan kepada pihak media.
Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura.
Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan pasukan penyelamat percaya masih ramai mangsa terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.
Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk menghampiri badan pesawat QZ8501 yang ditemui di dasar laut dekat Pulau Belitung sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.
Pesawat itu terhempas selepas menempuh cuaca buruk. – AFP

0 komen:
Post a Comment