SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas pengawal keselamatan AmBank, La Ode Ardi Rasila selepas didapati bersalah membunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib, tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
La Ode, 37, didakwa membunuh dan melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian Norazita, 37.
Dalam kejadian pada pukul petang 23 Oktober tahun lepas itu, mangsa maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita. Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.
Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu namun berjaya diberkas polis di Johor Bahru, 11 November tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara jam 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

0 komen:
Post a Comment