#MENGENANGMH17: PRAMUGARI PERNAH BERMIMPI PESAWAT DITEMBAK JATUH


Allahyarham Dora Shahila Kassim, 47, bersama puteri tunggalnya
Nurliyana Yazeera Yazli, 15


Pramugari yang terkorban dalam tragedi MH17, Dora Shahila Kassim dikatakan pernah bermimpi bahawa kapal terbang yang dinaikinya ditembak jatuh dan terhempas di satu kawasan berbunga.

Perkara itu didedahkan oleh sepupunya, Mohd Salahuddin yang ditemui pada upacara pengkebumian Allahyarham Dora Shahila Kassim di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Beliau mengetahui cerita berkenaan semasa kali terakhir berjumpa Allahyarham.

"Dia pernah bercerita dia pernah mimpi kapal terbangnya ditembak jatuh dan tempat kawasan jatuh tu luas dan banyak bunga. Itu saja. Satu bulan lebih sebelum nahas MH17 terjadi,"

"Mimpi arwah seakan-akan petanda mengenai tragedi MH17," katanya.

Mohd Salahuddin yang juga seorang Penyelia Penerbangan MAS, menjelaskan beliau dan sepupunya itu sangat rapat dan sentiasa berkongsi pengalaman selepas menjalankan tugas.

"Rapat jugalah sebab kami kan satu flight kadang-kadang , jadi ada la jumpa sebab ada juga jadual kami sama," katanya.

Tambahnya, Dora yang lebih mesra dipanggil Don dalam kalangan ahli keluarga merupakan seorang wanita yang tabah selepas menjadi seorang ibu tunggal lima belas tahun lalu.

"Dora seorang wanita yang tabah, arwah adalah seorang ibu tunggal kepada anak perempuan berusia 15 tahun," tambahnya.

Dengan nada sebak, beliau bagaimanapun bersyukur jenazah Dora akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air sambil berharap individu yang bertanggungjawab ke atas serangan MH17 dibawa ke muka pengadilan.

Jenazah Dora Shahila sebelum itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail selepas selesai solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan tunggal, Nurliyana Yazeera Yazli, 15 tahun. - Awani

Al-Fatihah. . .

0 komen:

Post a Comment