KUALA LUMPUR: Syarikat Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memaklumkan satu kemalangan telah berlaku di sebuah tapak pembinaan rel MRT berhampiran bekas Institut Penyelidikan Getah Malaysia berhampiran Kota Damansara di Petaling Jaya pada Isnin.
Kejadian berlaku kira kira pukul 8.30 malam semalam ketika kesemua mangsa berada di atas span konkrit yang sedang dipindahkan. Span sepanjang 38 meter dan seberat 300 tan itu tiba-tiba jatuh dan kesemua mangsa jatuh dari ketinggian 20 meter sebelum blok berkenaan menghempap mereka.
MRT Corp turut mengesahkan bahawa tiga pekerjanya dipercayai terperangkap di bawah runtuhan konkrit. Pekerja terbabit merupakan warganegara Bangladesh yang dikenali sebagai Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik.
Lokasi kejadian adalah berhampiran Stesen MRT Kwasa Damansara yang dalam pembinaan namun pihak berkuasa mengesahkan tiada orang awam yang terlibat. Siasatan kini sedang giat dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Susulan itu juga semua kerja-kerja pembinaan di laluan Pakej V1 yang dikendalikan Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd. telah digantung sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan MRT Corp kelak.
Setakat awal pagi tadi, anggota penyelamat yang terdiri daripada Unit K9, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam telah berjaya mengeluarkan salah satu mayat daripada 3 pekerja malang tersebut dipercayai mayat Mohamad Faruk Khan. - Awani

0 komen:
Post a Comment