‘IRON MAN’ GAGAL LARIKAN DUIT DARI ATM

Sebuah ATM di Plaza Damai, Luyang, Kota Kinabalu

diumpil penjenayah bertopeng ‘Iron Man’.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki memakai topeng 'Iron Man' gagal melarikan wang dari sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Plaza Damai dekat Luyang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.19 petang itu, suspek yang berpakaian serba hitam turut menyembur kamera litar tertutup (CCTV) dalam bank berkenaan dengan cat putih bagi mengelak perbuatannya dirakam.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 6 petang sebelum menghantar sepasukan anggota dan Unit Forensik untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pemeriksaan mendapati sebuah mesin ATM di bank berkenaan diumpil selain empat CCTV disembur dengan cat putih.

Katanya, tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian dan polis sudah meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan namun kita sedang berusaha mengesan," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jakariya Julpakal di talian 013-8571881.-Berita Harian

0 komen:

Post a Comment