Saya tidak melihat diri saya sebagai berbeza. Saya seorang
yang normal. - Claudio Vieira de Oliveira
Kakinya cacat,lengannya juga hampir tidak mampu berfungsi,malah kepalanya juga dilahirkan terbalik. Itulah dunia Claudio Vieira de Oliveira,37, yang dilahirkan dengan 'arthogryposis kongenital', satu kecacatan yang sangat ekstrem sehingga ibunya telah dinasihatkan oleh doktor untuk membiarkannya mati.
Walaupun memiliki kecacatan ekstrem sebegitu, dunia Claudio tidak seperti yang kita sangkakan. Sebaliknya, dia belajar berdikari dan menafikan kecacatan berkenaan untuk berjaya dan sentiasa positif menganggap dirinya normal. Ini terbukti apabila dia berjaya memiliki Ijazah dalam bidang perakaunan dan kini bekerja sebagai akauntan dan penceramah motivasi.
Kecacatan bukan lagi satu penghalang bagi Claudio untuk berjaya
Tiada siapa yang menyangka bahawa dia dapat hidup hingga sekarang sedangkan ketika dilahirkan doktor sendiri ragu-ragu sama ada Claudio mampu bertahan. Malah ada jiran tetangga keluarganya yang menyuruh ibunya, Maria Jose supaya membiarkan Claudio yang masih bayi ketika itu supaya kebuluran, kerana menyangka Claudio tidak akan hidup lama.
Claudio menjelaskan: “Sejak kecil saya sentiasa membiarkan diri saya sibuk dengan pelbagai perkara dan saya tidak suka bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
“Saya belajar untuk mengambil telefon bimbit saya, membuka radio dan televisyen, menggunakan internet dan komputer, semuanya saya buat sendiri,’’ katanya.
Claudio yang menaip dengan menggunakan mulut, turut memakai kasut khas bagi membolehkan dia berjalan dengan menggunakan lutut kerana badannya tidak dapat berada di atas kerusi roda.
Pada usia lapan tahun, Claudio, yang selama ini didukung oleh keluarganya merayu untuk berjalan dengan menggunakan lutut dan dia juga mahu bersekolah seperti individu normal lain.
Apa yang menjadi inspirasi ialah apabila Claudio menyatakan: "Sepanjang hidup saya, saya dapat menyesuaikan badan saya dengan dunia. Sekarang, saya tidak melihat diri saya sebagai berbeza. Saya seorang yang normal. – MStar

0 komen:
Post a Comment