Selesai majlis istiadat penghormatan,jenazah di bawa ke destinasi pengkebumian masing-masing. (Sumber foto: myMetro)
SEPANG - Cuaca hujan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini seakan mengiringi suasana pilu kepulangan kumpulan ketiga sembilan jenazah mangsa tragedi Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.
Pesawat MH19 dari Amsterdam, Belanda yang membawa tujuh jenazah warga Malaysia termasuk empat anak kapal dan dua lagi rakyat Belanda tiba tepat jam 6.37 awal pagi tadi. Jenazah kemudiaanya memasuki pekarangan Kompleks Bunga Raya kira-kira pukul 8.30 pagi untuk Istiadat Penerimaan Jenazah MH 17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada semua jenazah yang tiba.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Ahli keluarga dan sahabat handai mangsa dilihat mula memenuhi kompleks berkenaan seawal pukul 7 pagi dan acara bertafakur dimulakan kira-kira pukul 8.57 pagi.
Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 kumpulan ketiga yang bermula sebaik jenazah Kapten Wan Amran Wan Hussin dibawa keluar dari pesawat MH19 diikuti dengan jasad Shubashini J Retnam.
Jasad anak Shubashini, Kaelamayajay Goes dan suami Paul Goes (warga Belanda) dibawa keluar daripada pesawat MH19 sebelum diusung masuk ke dalam kenderaan jenazah.
Kendi abu jasad Kapten Eugene Choo Jin Leong disusuli keranda jenazah pembantu juruterbang Muhammad Firdaus Abdul Rahim turut diusung oleh pasukan Briged ke-12 Infrantri Malaysia.
Dua kendi terakhir iaitu sepasang suami isteri Loh Yan Hwa dan Fun Shun Poh dibawa ke kenderaan jenazah disusuli pengumuman bertafakur seminit.
Kira-kira jam 9 pagi, enam kenderaan jenazah keluar daripada pekarangan Kompleks Bunga Raya, KLIA menuju destinasi masing-masing. Manakala, tiga helikopter EC725 masing-masing membawa jenazah Sanjid Singh Sadhu ke Pulau Pinang, Muhammad Firdaus Abdul Rahim (Teluk Intan, Perak) serta Loh Yan Hwa (Pulau Pinang) dan Fun Shun Po (Pulau Pinang) untuk disemadikan. – Metro
Di bawah merupakan nama sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 yang TIBA pada awal pagi tadi.
Warga Malaysia:
1) Kapt Wan Amran Wan Hussin (L) (Anak Kapal – Pilot)
2) Kapt Eugene Choo Jin Leong (L) (Anak Kapal – Pilot)
3) Kaelamayajay Goes (P) (Penumpang)
4) Subashni Jretnam (P) (Penumpang)
5) Sanjid Singh Sandhu (L) (Anak Kapal – Flight Steward)
6) Muhd Firdaus Abdul Rahim (L) (Anak Kapal – First Officer)
7) Loh Yan Hwa (P) (Penumpang)
Warga Belanda:
1) Paul Goes (L) (Penumpang)
2) Fan Shun Po (L) (Penumpang)

0 komen:
Post a Comment