Gambar sekadar hiasan
KOTA BHARU- Angkara suami yang tidak berpuas hati dengan hak penjagaan anak, seorang wanita bukan sahaja patah lima tulang rusuk sebelah kanan malah bengkak di bahagian muka dan badan serta lebam di bahagian kepala selepas dipukul suaminya di Jalan Telipot, di sini, Ahad lalu.
Mangsa, yang berusia 18 tahun diperlakukan demikian di dalam kereta selepas ditarik suaminya ke dalam kenderaan terbabit.
Kejadian berlaku ketika mangsa menghampiri kereta suaminya yang membuat panggilan untuk berjumpa mangsa bagi mengambil anaknya berusia lapan bulan di bawah jagaan ibu mentua.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa yang menghadapi masalah dengan suaminya sebelum ini dalam proses penceraian.
“Wanita itu bukan sahaja ditarik ke dalam kereta malah diperlakukan secara kasar oleh lelaki terbabit sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.
“Lelaki terbabit tetap memandu keretanya walaupun pintu tidak ditutup sehingga menyebabkan kereta berkenaan melanggar beberapa kereta lain sepanjang perjalanan ke Telipot," katanya.
Rohaimi berkata, dalam keadaan memandu, lelaki itu turut bertindak ganas dengan memukul dan menendang mangsa sebelum kereta miliknya terbabas dan melanggar tiang lampu di jalan terbabit.
“Walau bagaimanapun, suspek berusia 22 tahun dan digelar sebagai ‘Miji Anak Sungai’ yang juga seorang penganggur, berjaya melarikan diri dan setakat ini polis masih memburu lelaki terbabit.
“Dipercayai suspek juga merupakan seorang penagih dadah dan kita masih menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan yang parah kepada mangsa.-Sinar Harian

0 komen:
Post a Comment