Istiadat penghormatan ringkas menyambut ketibaan kumpulan kedua
jenazah mangsa nahas MH17 (Sumber foto: BHarian)
SEPANG - Pesawat yang membawa kumpulan kedua jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.28 pagi Ahad dengan dua daripada jenazah yang tiba turut diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.
Pesawat penerbangan MH19 tersebut membawa jenazah Penyelia Penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar, pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ng Shi Ing manakala identiti jenazah ketiga tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut dilihat hadir di Kompleks Bunga Raya bagi memberi penghormatan kepada jenazah.
Sebaik sahaja tiba, kedua-dua keranda diangkat masuk ke dalam van jenazah oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malaysia turut bertafakur selama seminit mulai 8.41 pagi sebagai tanda penghormatan terhadap mangsa tragedi itu.
Selesai bertafakur, dua van jenazah bergerak meninggalkan Kompleks Bunga Raya menuju ke tempat pengebumian yang ditetapkan keluarga masing-masing. Jenazah Mohd Ghafar akan disemadikan di sebelah pusara anak lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang.
Sehingga hari ini, sejumlah 31 warga Malaysia mangsa MH17 sudah dikenal pasti dan 23 daripadanya sudah dibawa pulang untuk disemadi. Menurut laporan, sejumlah 8 lagi jenazah dijangka akan dibawa pulang 30 Ogos ini.
Untuk rekod,baki 12 lagi jenazah rakyat Malaysia yang terlibat nahas belum dikenal pasti. – Metro

0 komen:
Post a Comment