Liverpool meraih kemenangan ke-100 di peringkat Eropah.
(Sumber foto: Sinar Harian)
LIVERPOOL merekodkan kemenangan ke-100 di peringkat Eropah selepas menang tipis 2-1 ke atas kelab dari Bulgaria, Ludogorets dalam aksi pertama peringkat Kumpulan B, Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Dalam aksi di Anfield itu, The Reds diberi tentangan sengit sebelum Mario Balotelli memecahkan kebuntuan dengan meledakkan gol pertama pada minit ke-82.
Kedudukan itu tidak kekal lama di mana penyerang Ludogorets, Dani Abalo kembali mengikat kedudukan pada masa kecederaan.
Bagaimanapun, Reds bernasib baik selepas dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh kapten, Steven Gerrard bagi mengesahkan kemenangan di halaman sendiri.
Bagi pengendali The Reds, Brendan Rodgers, kemenangan yang diraih itu tidak mudah buat pasukannya selepas lima musim gagal melayakkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Ini adalah malam yang sempurna buat kami selepas lima musim gagal menempatkan diri. Jadi kemenangan ini sungguh luar biasa.
“Pemain saya juga menunjukkan keazaman yang tinggi untuk meraih kemenangan dan tiga mata ini sungguh berharga walaupun kami diberi tentangan yang sengit,” katanya.
Juara lima kali Liga Juara-Juara itu akan berdepan Basel dalam aksi kedua, 2 Oktober depan. –Sinar Harian

0 komen:
Post a Comment