BAYI PEREMPUAN MAUT TERSEDAK SUSU IBU

Bayi-Enam-Bulan-Maut-Tersedak-Susu-565x293

(Gambar sekadar hiasan)

KOTA BHARU 10 Dis. – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan me­ninggal dunia akibat tersedak susu ibunya di Taman Zasba, Pantai Cahaya Bulan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, 9 Disember, kelmarin, Nik Nur Ainul Madiah Nik Mohd. Azhari ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya, Nik Mohd. Azhari Nik Ibrahim, 27, ketika bangun untuk solat subuh kira-kira pukul 5 pagi.

Nik Mohd. Azhari berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu terjaga kerana menangis pada pukul 4 pagi sebelum disusukan isterinya, Mahfuzah Ibrahim, 27.

“Kira-kira sejam kemudian, saya bangun sebelum mendapati mulut dan hidung anak saya dipenuhi dengan cecair dipercayai susu.

“Sebelum itu, saya dan isteri bergilir-gilir menjaganya kerana dia sering menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Nik Mohd. Azhari yang be­kerja sebagai penyelia projek sebuah syarikat swasta berkata, dia mendapati pipi anaknya sejuk selepas mengelap cecair yang keluar itu.

Menurutnya, dalam keadaan panik, dia terus membuka sarung tangan dan kepala yang dipakai Nik Nur Ainul Madiah.

“Saya mengangkat anak saya tetapi dia sudah tidak bermaya. Saya terus bergegas ke rumah ibu mertua yang terletak berhampiran kerana dia merupakan seorang bekas jururawat.

“Sejurus ibu mertua saya memegang Ainul, dia memberitahu anak saya sudah tiada,” katanya.

Tambah Nik Mohd. Azhari, dia dan isteri menerima kejadian itu dengan reda serta menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.

Jenazah Allahyarham telah se­lamat dikebumikan di Tanah Per­kuburan Islam Che Deris di sini. pada pukul 10 pagi semalam. –Utusan Online

0 komen:

Post a Comment