Mayat mangsa dibawa keluar untuk dibedah siasat di Hospital Parit Buntar.
(Sumber Foto: myMetro)
IPOH 10 Dis. - Seorang bapa ditahan kerana dipercayai membunuh anak sulungnya yang merupakan remaja lembam berusia 21 tahun di Simpang Lima, Parit Buntar, dekat sini kelmarin.
Ketika ditahan di rumahnya di Jalan Terusan di sini kira-kira pukul 7 pagi, suspek yang berusia 46 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Hasil pemeriksaan menemukan mayat mangsa, Ahmad Solehin Abdul Harif di atas katil di tingkat bawah rumah itu, dalam keadaan lehernya dililit dengan tali getah pengikat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Omar Bakhtiar Yaakob berkata, suspek sebelum itu dikatakan telah mengejutkan mangsa yang tidur di tingkat atas rumahnya kira-kira pukul 3 pagi dan membawanya ke bawah.
Katanya, suspek kemudian telah naik semula ke tingkat atas dan mengejutkan anak-anaknya yang lain serta meminta maaf kepada mereka sebelum turun semula.
“Setelah pagi, adik lelaki mangsa bangun dari tidur dan terkejut mendapati mangsa terbaring dalam keadaan terlentang di atas katil bersama suspek.
“Dia cuba mengejutkan kedua-duanya namun mereka tidak bergerak lalu menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Omar Bakhtiar berkata, pembantu perubatan yang dipanggil kemudian mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia manakala suspek dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.
Jelas beliau, sehingga kini polis masih gagal mendapatkan kerjasama daripada suspek berhubung penglibatannya meskipun dia telah sedar kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat empat kesan jerutan di bahagian leher mangsa dan sebab kematiannya adalah lemas,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan memohon tahanan reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.- Utusan Online

0 komen:
Post a Comment