KUALA LUMPUR: Hanya 3 minit. Itulah tempoh masa yang diambil 6 lelaki berbadan gempal untuk merompak sebuah kedai emas di Taman Connaught, Cheras semalam.
Menurut laporan, perompak tersebut yang bersenjatakan tukul besi dan pistol berjaya melarikan 20 dulang barangan kemas yang dianggar bernilai RM900,000.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika orang ramai membanjiri pasaraya tersebut. Kedudukan kedai emas yang hanya 10m dari pintu utama serta tidak mempunyai pengawal keselamatan memudahkan aktiviti rompakan 6 lelaki gempal tersebut apabila hampir kesemua barang kemas yang dipamerkan berjaya dipunggah ke dalam guni sebelum dilarikan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintenden Abd Rahim Hamzah Othman berkata ketika kejadian pada 12.30 tengah hari, terdapat dua pekerja di kedai berkenaan yang terletak dalam sebuah pasar raya.
"Pada ketika itu, seorang daripada suspek memegang satu objek yang menyerupai pistol diacukan di udara tetapi tiada tembakan yang dilepaskan serta tidak berlaku sebarang kecederaan manakala empat yang lain memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan 20 dulang barangan kemas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata sejurus selepas itu, mereka terus melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek.
Abd Rahim berkata ketika kejadian, kesemua suspek memakai topeng ski hitam dan polis masih mengesan kereta yang digunakan selain menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebelah kedai emas itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan," katanya. - Awani
6 LELAKI GEMPAL ROMPAK EMAS RM900,000 DALAM MASA 3 MINIT
Posted on 8:04 AM by Malaya Mania
Categories: Malaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 komen:
Post a Comment